FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Belia berusia 18 tahun di Pulau Pinang dibenarkan bertanding sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pada Pilihan Raya Umum (PRU) kelak.

Keputusan itu dibuat selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun), hari ini sebulat suara meluluskan penggubalan undang-undang Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2021 bagi had umur calon Adun diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun.

Terdahulu, Rang Undang-undang (RUU) itu diusulkan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee yang kemudian mendapat sokongan penuh daripada semua ahli dewan selepas dibahaskan enam wakil rakyat.

Keputusan itu menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri ketujuh meluluskan usia kelayakan calon Adun selepas Sabah, Perlis, Terengganu, Sarawak, Kelantan dan Perak.

Lip Chee (DAP- Bagan Jermal) berkata, kajian selidik dijalankan berhubung cadangan penurunan had umur mendapati seramai 2,661 daripada 3,475 responden iaitu 65.06 peratus golongan belia menyokongnya.

"Bermula 8 Disember tahun lalu sehingga 6 Jun lalu, kami mengumpulkan pandangan golongan belia secara dalam talian dan 'hardcopy' mengenai cadangan ini.

"Selain itu, kami mengadakan pelbagai kempen pada April lalu untuk meningkatkan kesedaran dan menarik perhatian belia berhubung perkara ingin dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata, perkembangan sosial dan demokrasi di seluruh dunia turut memerlukan golongan belia harus diberi hak menjadi calon Adun seawal usia 18 tahun.

Menurutnya, langkah itu mampu memberi peluang, ruang dan suara kepada mereka untuk bersama-sama berganding bahu mencorak demokrasi negara melalui pilihan raya.

"Ini seiring dengan perkembangan pesat ekonomi, teknologi dan kemajuan pelbagai industri apabila pembabitan golongan muda dalam pembangunan sosial dan politik di Pulau Pinang dan Malaysia amat diperlukan.

"Pada masa sama, golongan belia seharusnya diberi peluang untuk memainkan peranan kritikal dalam dasar kerajaan memandangkan mereka adalah generasi bakal menentukan hala tuju negara pada masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 3:32 PM