FOTO hiasan
FOTO hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Bacaan pencemaran bau yang direkodkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih adalah 0 ton sehingga jam 6.25 petang tadi.

Kementerian Alam Sekitar dan Air dalam kenyataan dimuat naik di Facebook memaklumkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), Jabatan Alam Sekitar (Jas), Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Air Selangor sedang memantau rapi tahap pencemaran bau di loji berkenaan.

"Air mentah sudah mula dipam masuk ke 'inlet chamber' untuk proses 'flushing' di 'flocculator tank' loji rawatan.

"Bekalan air dijangka akan mula diagihkan secara berperingkat mulai awal pagi esok," katanya.

Dalam satu lagi hantaran di akaun Facebook kementerian itu memaklumkan sekiranya bacaan direkodkan sebanyak tiga kali dengan bacaan 0 ton secara berterusan, loji berkenaan dijangka akan kembali beroperasi hari ini.

"Bagaimanapun, proses pembersihan, pengisian tangki, rawatan dan imbangan akan mengambil masa lapan jam sebelum bekalan dapat mula diagihkan semula kepada pengguna.

"Bekalan (air) dijangka dapat dipulihkan secara berperingkat mulai jam 5 pagi esok," katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa Air Selangor diminta untuk memastikan bekalan air alternatif kepada pengguna disediakan seperti menggerakkan lori tangki agihan, menempatkan tangki statik dan paip agihan air sementara di lokasi strategik sehingga bekalan pulih sepenuhnya.

"Sehingga jam 4 petang tadi, Air Selangor sudah menggerakkan 80 lori tangki agihan, 14 lori dan membuka tujuh Pusat Khidmat Setempat.

"Span akan mengambil tindakan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air (Akta 655) 2006 terhadap pencemar yang dikenal pasti nanti.

"Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat mengenai perkembangan terkini gangguan bekalan menerusi aplikasi dan media sosial Air Selangor atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300," katanya.

Katanya, orang awam dan pihak bertanggungjawab dinasihatkan untuk melaporkan kejadian pencemaran kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan SPAN di talian 03-8317 9333 atau emel ke [email protected] bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan LRA Sungai Semenyih dihenti tugas susulan pencemaran bau dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir, hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Basri dipetik berkata, pencemaran bau itu dikesan jam 11.10 pagi ini.

Menurutnya, Air Selangor sedang bekerjasama dengan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) bagi mengenal pasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak sungai di sekitar Sungai Semenyih.

Sebanyak 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu Petaling sebanyak 172 kawasan, Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan) dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 10:08 PM