Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengurusan Air Selangor kini dalam proses memulakan proses rawatan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang dihenti tugas semalam agar air terawat yang bersih dan selamat dapat diagihkan kepada pengguna.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Elina Baseri berkata langkah itu penting selepas bacaan tahap sifar ton (ukuran kadar bau) sebanyak tiga kali berturut-turut direkodkan di Sungai Semenyih pada 6 pagi hari ini.

Beliau berkata, berikutan henti tugas LRA Sungai Semenyih, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan) mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

"Sebanyak 94 lori tangki air sudah digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas serta premis-premis kritikal sepanjang gangguan bekalan dan Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimumkan impak gangguan kepada pengguna," katanya dalam kenyataan hari ini.

Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden itu dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 10:04 AM