Aizat Sharif

Padang Besar: Kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis meredah hutan belantara bagi mengibarkan Jalur Gemilang di lokasi titik paling utara Semenanjung Malaysia di Gunung Perlis, Wang Kelian, di sini, Sabtu lalu.

Ekspedisi Program Kibarkan Jalur Gemilang di Titik Paling Utara Semenanjung Malaysia yang memakan masa lapan jam itu bermula di laluan Taman Negeri Perlis.

Usaha memastikan gema semangat kemerdekaan ke-64 yang bakal disambut esok berada di setiap inci tanah negara disertai kakitangan kerajaan negeri Perlis diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Azman Mohd Yusof dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Mohd Radhi Abas.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Awang Shaffie Awang Ahmadni berkata, program itu sangat bertepatan dengan bulan kemerdekaan memandangkan Perlis kini berada dalam Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang membolehkan aktiviti pelancongan dan rekreasi dalam negeri dijalankan.

Anggota ekspedisi yang terdiri daripada kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dan Kerajaan Negeri Perlis termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Azman Mohd Yusof (empat dari kiri) dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Mohd Radhi Abas (lima dari kiri, berbaju merah) mengibarkan Jalur Gemilang di titik paling utara di Semenanjung Malaysia di Gunung Perlis, Wang Kelian di Padang Besar sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64. FOTO AIZAT SHARIF
Anggota ekspedisi yang terdiri daripada kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dan Kerajaan Negeri Perlis termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Azman Mohd Yusof (empat dari kiri) dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Mohd Radhi Abas (lima dari kiri, berbaju merah) mengibarkan Jalur Gemilang di titik paling utara di Semenanjung Malaysia di Gunung Perlis, Wang Kelian di Padang Besar sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64. FOTO AIZAT SHARIF

"Kami tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan apabila hanya 10 orang sahaja dihadkan terbabit dalam penjelajahan ini.

"Lokasinya adalah titik paling utara di Semenanjung Malaysia yang berada antara sempadan Perlis dan Thailand yang juga titik paling tinggi di Perlis iaitu 733 meter dari aras laut.

"Jadi kami berharap apa yang dilakukan ini dapat membakar semangat semua pihak untuk menjayakan atau menyemarakkan semangat kemerdekaan Hari Kemerdakaan ke-64," katanya yang ditemui ketika pelepasan anggota ekspedisi itu.

Beliau berkata, perjalanan ke titik paling utara itu melalui Taman Negeri Perlis yang menjadi taman negeri pertama diwujudkan di Malaysia.

Katanya, taman negeri itu terletak di Banjaran Nakawan yang juga banjaran batu kapur terpanjang di Malaysia dengan tempoh perjalanan mengambil masa antara tujuh hingga lapan jam sejauh antara lapan hingga sembilan kilometer.

Tanjung Piai di Pontian, Johor diiktiraf sebagai titik paling selatan di Semenanjung Malaysia manakala puncak Gunung Perlis pula menjadi titik paling utara di bahagian sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 2:57 PM