Alexander Nanta Linggi.
Alexander Nanta Linggi.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Pelantikan semula beliau untuk menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi ruang kepada Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk meneruskan rancangan yang tergendala susulan perubahan pucuk pimpinan negara.

"Ketika saya meninggalkan kementerian ini susulan peletakan jawatan Perdana Menteri Ke-8 (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sebenarnya terdapat banyak perancangan yang dirangka bagi membantu pengguna dan komuniti peniaga di negara ini.

"Dengan pelantikan semula saya sebagai Menteri KPDNHEP, saya komited untuk meneruskan perancangan yang tergendala itu yang banyak tertumpu kepada usaha Kerajaan membantu memulihkan ekonomi rakyat serta sektor

peruncitan dan perdagangan domestik negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berdasarkan pengalaman menerajui KPDNHEP selama 17 bulan sebelum ini, Nanta mengakui tugasnya bukan mudah.

"Namun dengan kerjasama daripada Timbalan Menteri Datuk Rosol Wahid; Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan juga pegawai tertinggi serta semua warga kerja KPDNHEP, saya percaya

segala usaha membantu rakyat oleh kementerian ini dapat dilaksanakan dengan jayanya," katanya.

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu turut mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang terus memberi kepercayaan kepadanya untuk memegang porfolio sama.

"Ucapan terima kasih juga saya dedikasikan kepada Ketua Menteri yang juga Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg atas keyakinan beliau mencalonkan nama saya sekali lagi untuk berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan di Putrajaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 2:38 PM