GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Bachok: Seorang lelaki parah ditetak tiga lelaki dalam pergaduhan yang berpunca kerana kehilangan seekor burung murai peliharaannya di Kampung Pauh Jabit, Tawang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa Mohd Roslaidi Arifin, 42, putus ibu jari kanan, luka di bahagian atas kepala, betis kanan serta lutut kiri.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, mangsa mencari seorang lelaki bernama Farid untuk berbincang mengenai kecurian burung peliharaannya iaitu spesies murai cerek yang didakwanya dicuri Farid, dua hari lalu.

"Mangsa datang ke tempat kejadian yang juga rumah seorang lelaki bernama Jiji iaitu rakan kepada Farid kerana dia (Farid) sering melepak di situ. Namun, Farid tiada di tempat kejadian dan mangsa bertindak menggari Jiji untuk dijadikan tebusan.

"Semasa kejadian, mangsa diserang oleh tiga suspek iaitu Jiji, Jimi dan seorang lagi tidak dikenali, dengan menggunakan sebilah golok dan pedang sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohamad Ismail, mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia dekat Kota Bharu, malah pihaknya juga sudah mengenal pasti ketiga-tiga suspek dan sedang mengesan mereka bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 2:50 PM