JABATAN Perhutanan Negeri Pahang melanjutkan penutupan sementara 26 Taman Eko Rimba (TER) dan Hutan Taman Negeri (HTN) berikutan pelaksanaan PKP 3.0. FOTO Mohd Rafi Mamat
JABATAN Perhutanan Negeri Pahang melanjutkan penutupan sementara 26 Taman Eko Rimba (TER) dan Hutan Taman Negeri (HTN) berikutan pelaksanaan PKP 3.0. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) melanjutkan penutupan sementara 26 Taman Eko Rimba (TER) dan Hutan Taman Negeri (HTN) berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara.

Turut ditutup bagi aktiviti riadah ialah kawasan pendakian dan perkelahan terdapat dalam hutan simpan kekal.

Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) JPNP, Regina Mariah Jong berkata, keputusan melanjutan penutupan sementara semua pusat perkelahan itu diputuskan demi keselamatan dan kesihatan orang ramai.

Beliau berkata, dalam tempoh berkenaan, Pejabat Hutan Daerah (PHD) tidak akan mengeluarkan permit untuk memasuki hutan simpan kekal bagi tujuan aktiviti riadah.

"JPNP memohon maaf terhadap keputusan melanjutkan penutupan sementara semua 26 TER, HTN dan hutan simpan kekal bertujuan membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini.

"Keputusan itu dibuat demi kebaikan bersama, kita tidak mahu keseronokan bersama keluarga dan rakan di pusat perkelahan di bawah seliaan JPNP berakhir dengan kejadian tidak diingini.

"Kita akan umumkan pembukaan semula semua pusat pelancongan dibawah seliaan JPNP pada tarikh akan ditetapkan," katanya yang berharap masyarakat tidak bertindak menceroboh kawasan TER.

Regina Mariah berkata, mereka yang memasuki hutan simpan kekal tanpa permit untuk melakukan aktiviti riadah boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 kerana menceroboh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 2:18 PM