ISMAIL Sabri bersama rombongan ahli UMNO  menaiki bas untuk menghadap Yang Dipertuan Agong di Istana Negara, semalam. FOTO Hazreen Mohamad
ISMAIL Sabri bersama rombongan ahli UMNO menaiki bas untuk menghadap Yang Dipertuan Agong di Istana Negara, semalam. FOTO Hazreen Mohamad
Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: "Kepada Allah kita berserah," ungkap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Hantaran terbaharu di Facebook bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkemungkinan berkaitan calon Perdana Menteri yang dijangka diumumkan hari ini.

Ahli Parlimen Bera itu turut memuat naik gambar beliau di dalam bas ketika menuju ke Istana Negara bagi mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam.

Nama Ismail Sabri kini meniti di bibir rakyat dan pemerhati politik tanah air sebagai calon yang bakal diangkat menjadi Perdana Menteri kesembilan.

Keputusan kini terletak pada Al-Sultan Abdullah selepas Baginda menerima sembah maklum nama yang dipilih oleh Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Ismail Sabri dikatakan sudah memiliki 114 sokongan Ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) selain disokong Perikatan Nasional (PN).

Hari ini Mesyuarat Majlis Raja-Raja berlangsung di Istana Negara bagi perbincangan lanjut antara Al-Sultan Abdullah dan Raja-Raja Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 12:16 PM