RUMAH sewa Rahman di Kampung Baru, Padang Sanai dibiayai oleh seorang pengusaha bengkel kereta .FOTO Ihsan Pembaca
RUMAH sewa Rahman di Kampung Baru, Padang Sanai dibiayai oleh seorang pengusaha bengkel kereta .FOTO Ihsan Pembaca
Noorazura Abdul Rahman

Padang Terap: Selepas tiga bulan tinggal di dangau berdindingkan separuh plastik dan kain dalam dusun, akhirnya lima beranak di Kampung Lok Koi, Kuala Nerang berpindah ke rumah sewa hasil bantuan masyarakat setempat hari ini.

Nur Shakila Abd Rahman, 38, berkata, dia sangat bersyukur dapat berpindah ke rumah sewa di Kampung Baru, Padang Sanai di sini selepas dipelawa beberapa individu yang datang ke dangau mereka.

Katanya, dia dan suami, Rahman Ismail,37, menerima pelawaan itu selepas memikirkan keselesaan dan pendidikan anak-anak yang boleh mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Alhamdulillah, syukur dan terima kasih kepada individu yang sudi membantu kami untuk membayar sewa rumah.

"Anak-anak sangat gembira dan ceria sebaik sahaja masuk dalam rumah baharu hari ini. Suami juga boleh mencari kerja lain selepas ini," katanya ketika dihubungi, di sini.

Nur Shakila, berkata dua anaknya iaitu Muhammad Rafiq Rahman, 11, dan Muhammad Raziq Rahman,7, kembali dapat mengikuti PdPR kerana di rumah sewa baharu mereka mempunyai liputan telefon dan Internet.

"Terima kasih kepada semua pihak yang membantu kami. Kami sangat menghargai keprihatinan semua," katanya.

Sebelum ini, Rahman terpaksa membawa keluarganya tinggal di dangau milik arwah bapanya sejak Mei lalu apabila tidak lagi mampu membayar sewa rumah selama tiga bulan di Kampung Tualak, di sini.

Katanya, dia sebelum ini bekerja sebagai tukang pemotong kayu getah dengan gaji RM1,300 sebulan namun hilang sumber pendapatan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Pada mulanya tidak ramai yang tahu kami berpindah ke sini kecuali ahli keluarga sahaja, namun selepas anak saya Muhammad Rafiq, dan Muhammad Raziq, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tualak (SK) tidak mengikuti PdPR, guru-guru mula mencari mereka.

"Mereka akhirnya datang ke dangau kami dan memberi bantuan beberapa hari lalu," katanya

Rahman, berkata mereka sekeluarga kini turut mendapat pertolongan saudara-mara yang selalu hadir menziarahi mereka sejak tinggal di situ.

Katanya, sebelum ini dia sudah memohon bantuan rumah daripada beberapa pihak namun belum mempunyai sebarang jawapan.

Sementara itu, Pengarah Urusan DK Speed Auto Garage, Rizduan Daud berkata, dia terpanggil untuk membantu keluarga berkenaan selepas kisah mereka tular di media sosial.

Katanya, dia akan membiayai sewa bulanan bagi meringankan beban Rahman yang hilang pendapatan akibat tidak bekerja disebabkan PKP.

"Sewa rumah baharu mereka ini adalah RM450 sebulan tetapi tuan rumah hanya minta bayaran RM400 sahaja kerana dia juga mahu membantu keluarga ini.

"Saya membantu mereka sebab pernah melalui kesusahan dan memahami apa yang dirasai mereka sejak tinggal di dangau itu. Syukur ramai pihak yang turut tampil membantu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 7:06 PM