Mohd Huzaidi Husin, 32, dari Kampung Mengabang Lekor, Batu Rakit yang mengenakan maskot teddy bear ketika hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). FOTO IHSAN UNISZA
Mohd Huzaidi Husin, 32, dari Kampung Mengabang Lekor, Batu Rakit yang mengenakan maskot teddy bear ketika hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). FOTO IHSAN UNISZA
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Nerus: Penjual ais krim ini sering mengenakan kostum teddy bear di Pantai Teluk Ketapang, di sini, ketika menjalankan perniagaan.

Bagaimanapun, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa, Mohd Huzaidi Husin, 32, yang berasal dari Kampung Mengabang Lekor, Batu Rakit tidak berniaga malah tidak berpeluang mengenakan kostum berkenaan.

Demi melepaskan rindunya, Mohd Huzaidi mengenakan kostum itu ketika hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), semalam.

Mohd Huzaidi berkata, dia nekad memakai kostum teddy bear itu untuk melepaskan rindu selain menghiburkan penerima vaksin lain dan petugas barisan hadapan di PPV itu.

"Mulanya, saya tidak tahu jika memakai kostum dibenarkan masuk ke PPV itu atau tidak, Jadi, saya membawa baju lain untuk dipakai sekiranya tidak dibenarkan.

"Alhamdulillah, rasa gemuruh dan bimbang hilang sebaik sahaja sampai ke PPV kerana kehadiran saya disambut dengan baik petugas barisan hadapan dan penerima vaksin lain.

"Saya sampai ke PPV jam 3.30 petang dan menerima vaksin jenis Sinovac pada 4 petang. Dalam tempoh setengah jam menunggu itu tidak henti-henti orang ramai di PPV datang bergambar dengan saya," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Gambar Mohd Huzaidi sejak malam semalam menjadi tular di media sosial dan mendapat maklum balas positif daripada warganet.

Tambahnya, dia akan menerima vaksin dos kedua pada 7 September depan dan berkemungkinan mendapatkan vaksin kedua itu secara pandu lalu.

"Saya seorang yang suka menghiburkan orang ramai dengan cara saya sendiri dan ia memberi kepuasan kepada saya apabila melihat orang terhibur.

"Sebelum ini, saya boleh hiburkan orang di majlis perkahwinan dengan memakai maskot itu tetapi sekarang aktiviti dan majlis perkahwinan tidak dibenarkan.

"Sudah terlalu lama saya tidak tampil berpakaian maskot seperti itu dan berpeluang menyarung semula maskot itu memang memberi kepuasan kepada saya," katanya.

Katanya, dia hanya menunggu kebenaran untuk menjalankan perkhidmatan itu semula selepas kes Covid-19 menurun di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 1:17 PM