Mohd Faizal Adnan memakai kostum beruang berbual dengan jururawat  ketika menanti giliran untuk menerima suntikan vaksin di SK Lui Selatan. FOTO ABNOR HAMIZAM
Mohd Faizal Adnan memakai kostum beruang berbual dengan jururawat ketika menanti giliran untuk menerima suntikan vaksin di SK Lui Selatan. FOTO ABNOR HAMIZAM
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Dua sahabat sengaja memakai kostum beruang dan monyet bagi mencipta kelainan selain menghiburkan penerima vaksin pada Program Imunisasi Covic-19 Kebangsaan ( PICK ) peringkat Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Sungai Lui di sini, tadi.

Mohd Faizal Adnan, 38 dari FELDA Lui Selatan Dua di sini, memakai kostum beruang manakala rakannya, Anuar Abd Ghani, 35 dari FELDA Lui Barat mengenakan kostum monyet.

Kemunculan dua sahabat itu ternyata menghiburkan penerima vaksin pada program yang diadakan di Sekolah Kebangsaan FELDA Lui Selatan.

Mohd Faizal berkata, dia juga antara penerima vaksin dos pertama dan merancang memakai kostum sebaik mengetahui dia terpilih sebagai penerima vaksin.

Katanya dia mengeluarkan belanja RM80 bagi menyewa kostum beruang daripada seorang kenalan.

"Saya memakai kostum berkenaan bukan kerana takut untuk disuntik. Kelakar juga apabila jururawat mengusik apabila mereka perlu memberikan suntikan kepada `monyet' dan 'beruang'.

"Setidak-tidaknya saya suka bila melihat mereka gembira dan terhibur. Petugas barisan hadapan ini turut merasai kepenatan. Oleh itu tidak salah kami cuba menghiburkan mereka," katanya.

Sementara itu Anuar berkata dia juga tidak sangka apabila kehadiran mereka berdua dapat menghiburkan semua penerima vaksin dan petugas barisan hadapan.

Katanya dia dan Mohd Faizal bercadang untuk memakai kostum lain pula ketika menerima suntikan dos kedua dua minggu lagi.

Pada program berkenaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut menyediakan sebuah bas bagi kemudahan penerima menerima suntikan vaksin.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Sungai Lui , Mohd Razi Mohd Ali; Pegawai Daerah Jempol, Nawal Mohamed Amin;Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin ( PPV ) Jempol, Dr Ismul Adham Mohd Zaini dan Pegawai Penerangan Daerah Jempol, Noorezrin Mahmod.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 3:55 PM