FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: B Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) belum membuat sebarang ketetapan berhubung kebenaran solat berjemaah di masjid dan surau bagi individu yang sudah lengkap dua dos vaksin di Selangor.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, sehingga kini pihak JAIS masih belum membuat sebarang keputusan walaupun Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah mengumumkan kelonggaran untuk jemaah lengkap vaksinasi.

"Untuk solat Jumaat dan solat fardhu lima waktu di masjid dan surau di Selangor, JAIS belum membuat sebarang keputusan dan masih meneliti beberapa perkara dan bentuk pelaksanaan sesuai. Jika ada, akan dimaklumkan kemudian," katanya tadi.

Sementara itu Masjid Saidina Ali di Rawang menerusi satu notis juga memaklumkan belum menerima sebarang arahan terbaru daripada JAIS untuk membenarkan solat Fardu atau Solat Jumaat secara berjemaah.

Menurut notis itu, walaupun ada arahan daripada kerajaan pusat mengenai aktiviti solat dibenarkan di masjid dan surau bagi jemaah yang menerima vaksinasi lengkap, namun masjid itu masih tertakluk kepada titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj dan peraturan-peraturan JAIS.

"Pihak Masjid Saidina Ali memohon jemaah tidak terkeliru dengan arahan MKN dan arahan JAIS kerana pentadbiran agama Islam adalah terletak di bawah kuasa majlis agama negeri masing-masing.

"Pihak Masjid Saidina Ali akan mengeluarkan notis atau pengumuman dari masa ke semasa berkenaan arahan JAIS. Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Nazir atau Setiausaha Masjid Saidina Ali.

"Pihak masjid harap, jemaah bersabar dan memperbanyakkan doa supaya kita segera dibenarkan membuka masjid untuk solat-solat berjemaah dan aktiviti-aktiviti lainnya," menurut notis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 5:01 PM