MENDIANG K Pragas ketika bertugas di BBP Seremban 2. FOTO Ihsan Bomba
MENDIANG K Pragas ketika bertugas di BBP Seremban 2. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Saya tidak menyangka kami kehilangan seorang anggota akibat Covid-19," kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2 Mohd Asree Abd Hamid mengenai kematian anggota balai itu, K Pragas, 49, malam tadi.

Mendiang Pragas dilaporkan meninggal dunia pada jam 10.30 malam di Hospital Tampin selepas dimasukkan ke hospital berkenaan pada 1 Ogos lalu.

Mohd Asree berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehnya, mendiang mula dikesan positif Covid-19 pada 21 Julai selepas dia bersama ahli keluarga termasuk isteri membuat ujian saringan, 19 Julai lalu.

Menurutnya, pada peringkat awal Pragas menjalani kuarantin di rumahnya di Rantau, dekat sini.

"Disebabkan keadaan kesihatannya yang dilihat kurang stabil, mendiang kemudian dibawa ke Hospital Tampin pada 1 Ogos lalu bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Bagaimanapun kami menerima laporan bahawa Pragas meninggal dunia pada jam 10.30 malam tadi di hospital berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Asree berkata, kali terakhir dia berhubung dengan mendiang pada 2 Ogos lalu selepas sehari dia menerima rawatan di hospital terbabit.

Katanya, ketika itu mendiang yang berkhidmat di Unit Khas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan tidak menunjukkan tanda fizikal dan kesihatannya terjejas serius.

"Saya boleh berkomunikasi dengannya dan dia turut bertanyakan keadaan rakan sekerja.

"Saya tidak menyangka keadaan kesihatannya terus merosot sehingga membawa kepada kematiannya hanya dalam tempoh tidak sampai seminggu," katanya.

Mohd Asree berkata, mendiang yang berkhidmat di bawah kendaliannya selama lebih 10 tahun selepas berpindah ke BBP Seremban 2 dari BBP Nilai meninggalkan isteri dan tiga anak berusia bawah 12 tahun.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 1:19 PM