Abdul Halim menerima sumbangan daripada Noorul Ariffin yang datang ke rumahnya di Kampung Linggi, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Abdul Halim menerima sumbangan daripada Noorul Ariffin yang datang ke rumahnya di Kampung Linggi, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Kemalangan menimpa seorang mekanik motosikal 25 tahun lalu menyebabkan dia lumpuh dari paras pinggang hingga ke bawah. Namun keadaan fizikalnya itu tidak menghalang Abdul Halim Said, 49, berkongsi kemahiran dimiliki melalui 'kelas' dalam talian.

Ini dibuktikan apabila Abdul Halim terus dihubungi rakan mekanik dari beberapa negeri yang kerap meminta tunjuk ajarnya berkaitan kaedah baik pulih motosikal.

Abdul Halim berkata, minatnya untuk berkongsi ilmu itu dilakukannya susulan permintaan daripada rakan-rakan yang mengusahakan bengkel.

"Biasanya mereka akan membuat 'video call' sambil menunjukkan enjin motosikal yang menghadapi masalah. Saya akan memberi nasihat kaedah membaiki motosikal sehingga ia berjaya dilakukan

"Ada beberapa rakan mekanik daripada Pahang, Kelantan, Terengganu dan negeri ini yang selalu menghubungi saya jika motosikal dibaiki menghadapi masalah sukar diatasi," katanya yang menggunakan kerusi roda.

Katanya, sebelum terbabit dalam kemalangan motosikal, dia adalah mekanik motosikal dan pernah bekerja di beberapa bengkel motosikal.

"Saya bagaimanapun kembali ke kampung dan bekerja di sini (Kampung Linggi) kerana mahu menjaga arwah emak yang semakin uzur ketika itu. Namun tidak sangka akhirnya arwah emak pula menjaga saya yang terlantar akibat kemalangan motosikal.

"Akibat kemalangan itu, saya terpaksa memakai beg najis di perut dengan dibeli secara pukal RM750 sekotak untuk 50 unit yang tahan untuk sebulan.

"Dalam masa sama, saya juga perlu memakai lampin pakai buang yang berharga lebih RM75 untuk 10 peket yang mana ia penting ditukar setiap kali saya nak solat.

"Kini saya hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan selepas emak meninggal dunia pada tahun 2010 akibat sakit tua," katanya ketika menerima sumbangan barangan makanan daripada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) di rumahnya di Kampung Linggi di sini, tadi.

Sebelum ini Abdul Halim adalah bekas atlet Paralimpik negara dan pernah memenangi pingat gangsa bagi acara badminton pada tahun 2004.

"Kelebihan saya dalam acara badminton berkerusi roda adalah mampu bermain dengan menggunakan kedua-dua belah tangan tanpa rasa kekok. Saya juga pernah mewakili Wilayah Persekutuan dalam acara yang sama," kata anak ketujuh dari lapan beradik ini.

Sementara itu, Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, dia berterima kasih kepada Harian Metro kerana menyiarkan kisah bekas atlet Paralimpik negara untuk memudahkan bantuan disalurkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 3:43 PM