MAYAT mangsa dibawa ke Jeti Bukit Treh, Muar sebelum diserahkan kepada pihak polis. FOTO Ihsan bomba
MAYAT mangsa dibawa ke Jeti Bukit Treh, Muar sebelum diserahkan kepada pihak polis. FOTO Ihsan bomba
Essa Abu Yamin

Muar: Lelaki ditemukan lemas pada tengah hari ini selepas dipercayai terjun ke sungai di Jambatan Sultan Ismail dekat sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar Penguasa Bomba Kanan II Shahrizal Mohtar berkata, mangsa yang masih belum dikenal pasti identitinya itu ditemukan dalam keadaan terapung pada 12.15 tengah hari kira-kira 11 kilometer dari lokasinya terjun.

"Pada 7.42 pagi semalam, kami menerima laporan mengenai seorang lelaki terjun ke dalam sungai dari atas Jambatan Sultan Ismail.

"Sejak semalam pihak bomba melakukan operasi mencari di kawasan mangsa dilihat terjun dan diteruskan dengan pencarian di pesisir sungai," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Shahrizal, operasi yang dilakukan bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pihak polis disambung semula pagi hari ini sebelum mayat mangsa ditemukan terapung oleh nelayan tempatan.

"Mayatnya dibawa ke jeti Bukit Treh sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Seramai 10 orang anggota dari BBP Muar dan satu bot aluminium BP 39 terbabit dalam operasi sebelum ditamatkan pada 1 tengah hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 3:46 PM