LUKANISMAN pada sesi sidang Dewan Rakyat hari ini.
LUKANISMAN pada sesi sidang Dewan Rakyat hari ini.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pelaksanaan darurat secara lokaliti atau sendiri di Sarawak boleh dibuat bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) berkata, ini kerana sebaik tamat Proklamasi Darurat pada 1 Ogos ini maka Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak akan terbubar dengan sendiri.

Katanya, selepas tarikh itu PRN Sarawak perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

"Kami di Sarawak khuatir PRN akan mencetuskan penularan kes Covid-19 seperti yang berlaku di Sabah.

"Kami tidak mahu membuka negeri kepada bahaya tambahan pula varian Delta sudah dikesan di Miri dan Sibuti," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan darurat di Sarawak boleh dipertimbangkan bagi memastikan keadaan stabil sebelum PRN dilaksanakan.

Katanya, walaupun vaksinasi di Sarawak berada pada tahap yang baik namun kebimbangan tetap perlu difikirkan jika PRN dilaksanakan kelak.

Beliau berkata, kerajaan diharap boleh mempertimbangkan pandangan penangguhan PRN Sarawak demi memastikan kesihatan rakyat tidak menjadi taruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 4:32 PM