Hospital Medan ATM di WP Labuan.
Hospital Medan ATM di WP Labuan.
Yusmizal Dollah Aling dan Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Hospital medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah ditutup hari ini selepas kes Covid-19 menunjukkan penurunan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, penurunan itu dapat dilihat apabila ia hanya mencatatkan 21 kes baharu, hari ini.

Menurutnya, pesakit yang dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) juga semakin berkurangan iaitu 200 kes berbanding 625 kes sebelum ini.

"Sebelum ini, di wad khas unit rawatan rapi (ICU) ada 22 katil dan kini penggunaannya hanya membabitkan sembilan pesakit. Ini menunjukkan peningkatan vaksinasi bagi dos kedua di Labuan menjadikan kes semakin menurun.

"Inilah bukti, modul yang digunakan di Labuan (meningkatkan vaksinasi) dapat mengawal jangkitan Covid-19 dalam kalangan komuniti," katanya pada sidang media Covid-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Labuan mencatatkan jumlah tertinggi sejak empat minggu lalu kerana kebanyakan kes dikesan dijangkiti varian Delta.

"Bagaimanapun, hasil lebih 70 peratus vaksinasi dos kedua ke atas penduduk, jumlah kes baharu semakin menunjukkan penurunan yang ketara.

"Jadi, hanya dua kaedah dapat menurunkan kadar jangkitan Covid-19 dalam komuniti, iaitu meningkatkan vaksinasi dan kekal dengan tindakan kesihatan awam serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 7:51 PM