TUN Dr Mahathir Mohamad bersama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. FOTO arkib NSTP
TUN Dr Mahathir Mohamad bersama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. FOTO arkib NSTP
Hamzah Osman


Langkawi: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sedia menjadi saksi kes mahkamah membabitkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dituduh pecah amanah dan menyalahgunakan wang sumbangan parti.

Dr Mahathir berkata, beliau sedia menjadi saksi kerana yakin ada pihak tertentu berusaha membunuh karier politik bekas Menteri Belia dan Sukan itu melalui pendakwaan di mahkamah.

"Syed Saddiq ini terserlah sikit, dia berjaya kumpul sokongan golongan muda, jadi ada orang hendak bunuh karier politiknya awal-awal lagi.

"Jika saya dijemput menjadi saksi, saya akan pergi (ke mahkamah)," katanya ketika sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes pendakwaan Syed Saddiq di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan pecah amanah membabitkan wang RM1 juta dana milik Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, timbul tanda tanya kerana pendakwaan terhadap Syed Saddiq dibuat ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerlukan sokongan Ahli Parlimen.

"Saya dengar baru sekarang hendak bawa dia ke mahkamah, sebenarnya benda ini sudah lama, perkara ini sudah dibangkitkan lima kali, tapi tiada tuduhan apa pun.

"Sekarang ini baru nak tuduh, saya hairanlah juga kenapa dahulu tidak buat dan sekarang baru hendak tuduh (di mahkamah)," katanya.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi menyerahkan bakul Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) kepada wakil komuniti Cina dan India.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 4:43 PM