DATUK Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) menziarahi Mohd Latiff Rahmad (kiri) yang kehilangan isteri dan anak lelaki akibat Covid-19 di rumahnya di Kampung Batu 4, Ijok. FOTO ihsan FB
DATUK Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) menziarahi Mohd Latiff Rahmad (kiri) yang kehilangan isteri dan anak lelaki akibat Covid-19 di rumahnya di Kampung Batu 4, Ijok. FOTO ihsan FB
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Sambutan Aidiladha tidak bermakna buat seorang lelaki warga emas selepas kehilangan dua insan tersayang akibat Covid-19.

Mohd Latiff Rahmad, 67, dari Kampung Batu 4, Ijok, di sini, hanya mampu mengalirkan air mata apabila menerima berita pemergian isteri dan anak lelaki pada 14 Julai lalu.

Isterinya, Sainon Kutut, 61, disahkan meninggal dunia pada jam 4.30 pagi sebelum disusuli anak lelakinya, Azman Mohd Latiff, 25, enam jam kemudian.

Sainon yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh (HSB) manakala Azman pula meninggal dunia di rumah dipercayai sesak nafas.

Lebih memilukan, Mohd Latiff menerima berita kematian Azman yang ketika itu dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) dan pada masa sama dia sedang mendengar taklimat pengurusan jenazah isterinya di HSB.

Bercerita lanjut, Mohd Latiff berkata, pemergian insan tercinta nyata mengubah sepenuhnya kehidupan yang sebelum ini bergantung penuh kepada mereka.

"Susah nak digambarkan apa yang dirasa ketika ini. Allah SWT sahaja yang mengetahui perasaan saya sewaktu Dia 'ambil' isteri dan anak dalam waktu singkat.

"Mereka berdua tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap atau tanda akan meninggalkan saya.

"Kehilangan ini amat besar. Saya hanya mampu berdoa semoga roh mereka ditempatkan di kalangan orang yang soleh dan solihin.

"Selepas ini, saya harus kuat menempuh kehidupan tanpa mereka. Semoga Allah SWT kuatkan hati saya untuk hari yang akan mendatang," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Mohd Latiff dikunjungi Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurutnya, jenazah isteri dan anak lelakinya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Bukit Badong, Bestari Jaya.

Kata Mohd Latiff, ketika ini dia menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari dan akan tamat pada 24 Julai ini.

Ketika ditanya mengenai sambutan Aidiladha, Mohd Latiff berkata dia akan merindui masakan isterinya iaitu rendang ayam dan sambal kacang.

"Selama 43 tahun kami melayari bahtera perkahwinan. Arwah sememangnya tahu dua lauk yang menjadi kegemaran saya dan anak lelaki.

"Tetapi, semua itu menjadi kenangan yang tak akan dilupakan sampai akhir hayat saya," katanya yang ketika ini keperluan seperti makan dan minum diuruskan oleh adik perempuannya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 5:29 PM