Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis Daerah Dang Wangi mengambil inisiatif menyalurkan sumbangan kepada 30 keluarga dan individu di sekitar daerah itu yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, inisiatif itu dilakukan menggunakan dana surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi yang disumbangkan orang awam selain sumbangan individu persendirian.

"Kami mengambil pendekatan ini untuk menyampaikan semula dana tabung surau itu yang diperoleh daripada sumbangan orang ramai bagi tujuan kebajikan dengan membantu individu yang terjejas.

"Justeru itu, saya mengarahkan ketua balai di daerah ini untuk mengenal pasti individu yang terjejas di kawasan mereka bagi menerima sumbangan itu yang disampaikan hari ini," katanya ketika ditemui di IPD Dang Wangi, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, sumbangan yang dihulurkan kepada mereka diberikan dalam bentuk wang tunai serta barangan keperluan.

"Bagi sumbangan kali ini, kami memberikan wang tunai sebanyak RM250 serta barang keperluan seperti beras, minyak masak dan telur kepada penerima.

"Menerusi bantuan ini, kami harap dapat mengurangkan beban individu yang terjejas dan kelangsungan hidup mereka," katanya.

MOHAMAD Zainal beramah mesra bersama penerima. FOTO Mohd Yusni Ariffin.
MOHAMAD Zainal beramah mesra bersama penerima. FOTO Mohd Yusni Ariffin.

Beliau berkata, pihak pengurusan surau IPD Dang Wangi turut menyediakan kemudahan van jenazah secara percuma kepada penduduk di sekitar Dang Wangi.

"Baru-baru ini, kami memperoleh van jenazah berkenaan yang dibeli menggunakan dana tabung surau itu untuk digunakan secara percuma kepada penduduk di daerah ini selain warga IPD ini sendiri.

"Ini satu daripada kaedah untuk menyalurkan semula sumbangan orang ramai bagi tujuan kebajikan," katanya.

Sementara itu, penerima bantuan, Fatimah Hussin, 50-an, berkata, dia bersyukur apabila menerima bantuan berkenaan untuk kelangsungan hidup.

"Sejak bulan Ramadan lalu, saya berhenti berniaga di Chow Kit kerana sudah tidak ramai pelanggan. Ketika ini, saya tiada pendapatan dan hanya bergantung kepada bantuan dihulurkan beberapa pihak.

"Saya bersyukur ramai pihak membantu memberi sumbangan sepanjang tempoh ini. Hanya dengan bantuan ini, saya serta ahli keluarga dapat meneruskan kehidupan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 5:01 PM