Foto hiasan
Foto hiasan
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Kesatuan Kakitangan Akademik Universiti Teknologi Mara (Mitasa) berharap agar ruang sewajarnya dapat diberikan kepada semua pihak yang terbabit dalam kejadian yang menimpa dua penuntut universiti itu yang meninggal dunia baru-baru ini.

Exco Mitasa dalam kenyataannya hari ini berkata, berdasarkan beberapa laporan media serta laporan yang turut disiarkan di media sosial, kematian kedua-dua penuntut terbabit dikaitkan dengan tekanan melampau diterima mereka disebabkan tugasan ilmiah yang perlu dilengkapkan di samping persediaan menjelang penilaian akhir yang bermula pada 22 Julai hingga 12 Ogos ini.

Menurutnya, Mitasa tidak menolak tanggapan bahawa tekanan dan bebanan itu menjadi satu faktor yang menyumbang kepada punca masalah kesihatan yang dihadapi namun pihaknya berharap agar ia tidak dijadikan sebagai satu-satunya punca yang menyumbang.

"Bagaimanapun, kami berharap agar persepsi sebahagian warga maya (netizen) yang meletakkan kesalahan atas bahu pensyarah serta pusat pengajian dapat dihindarkan.

"Kami percaya UiTM sendiri sudah menjalankan siasatan dan sekiranya benar pensyarah yang terbabit bertanggungjawab, kami di Mitasa sama sekali tidak akan menyokong pensyarah terbabit.

"Apapun, kita harus menghormati hasil siasatan serta laporan kesihatan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tidak perlu hanya menuding jari kepada satu pihak atau punca semata-mata," katanya.

Beliau berkata, semua pihak sedia maklum bahawa negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19 dan sudah melalui beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang secara tidak langsung menjejaskan segenap aspek kehidupan termasuk sektor pendidikan tinggi.

Jelasnya, susulan itu, kuliah secara bersemuka tidak dapat dijalankan sebagaimana lazimnya dan sektor pendidikan tinggi termasuk UiTM melakukan beberapa pengubahsuaian bagi disesuaikan dengan norma baharu dengan memperkenalkan konsep pembelajaran terbuka (ODL).

Menurut kenyataan itu lagi, sejak ODL diperkenalkan, kesemua pensyarah menerusi ketua pusat pengajian ditekankan berkenaan kaedah penyampaian dan penilaian perlu mengambil kira keadaan semasa serta kekangan-kekangan yang dihadapi oleh penuntut.

Katanya, penuntut juga sudah dimaklumkan seawal minggu pertama pada setiap semester berkenaan kaedah pembelajaran, tajuk perbincangan serta penilaian yang perlu dilalui dan kesemua ini juga sudah diluluskan di peringkat pusat pengajian serta Bahagian Hal Ehwal Akademik.

"Semasa ODL ini masih dijalankan pula, pensyarah juga diingatkan untuk sedikit fleksibel dengan jumlah tugasan serta tarikh akhir penghantaran. Justeru, merujuk kembali kepada apa yang berlaku, kami percaya pensyarah di kedua-dua cawangan UiTM itu sudah menjalankan tugas mereka seperti yang diamanahkan," katanya.

Sementara itu, Mitasa turut menyampaikan ucapan takziah dan dukacita terhadap keluarga Allahyarham Nurul Natasya Ezreen Azemi (Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan di UiTM Cawangan Kedah) serta keluarga Allahyarham Muhammad Adham Hazim Mohd Rizaini (Diploma Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM Cawangan Pahang).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 11:24 AM