PETUGAS HKL dan Jawi yang mengendalikan jenazah pesakit Covid-19 di perkarangan IPFN. FOTO Ihsan FB Dr Ahmad Hafizam.
PETUGAS HKL dan Jawi yang mengendalikan jenazah pesakit Covid-19 di perkarangan IPFN. FOTO Ihsan FB Dr Ahmad Hafizam.

Kuala Lumpur: Walaupun sudah lewat malam, namun kakitangan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan petugas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) masih bekerja keras menguruskan jenazah pesakit Covid-19.

Menceritakan situasi itu, Pakar Perubatan Forensik, Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi berkata, jenazah juga bertali arus dibawa keluar dari IPFN ke kubur untuk dikebumikan.

"Jam 10 malam, kami masih bekerja keras bersama Jawi menguruskan jenazah pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Jenazah pesakit Covid-19 juga bertali arus dibawa keluar dari IPFN ke kubur, tempat persemadian terakhir.

"Secepat mana jenazah dikeluarkan dari IPFN, secepat itu juga jenazah baru dibawa masuk ke IPFN dari wad dan juga luar hospital," katanya ketika memuat naik hantaran di Facebook (FB)nya malam ini.

Dr Ahmad Hafizam berkata, setiap kategori kakitangan bersama-sama membantu tanpa mengira jawatan.

"Pakar, pegawai perubatan, pegawai Sains, penolong pegawai perubatan, jururawat, penolong pegawai rekod, pembantu perawatan kesihatan, polis bantuan, petugas Jawi semua berganding bahu menyelesaikan tugas yang tidak pasti bila akhirnya.

"Tidak terkira penat dan keringat yang membasahi tubuh. Hari esok tugas tetap diteruskan," katanya.

Hari ini, Malaysia mencatatkan 13,215 kes harian Covid-19, jumlah tertinggi setakat ini menjadikan keseluruhan sebanyak 880,782 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, Selangor mencatatkan 6,120 kes diikuti Negeri Sembilan (1,603 kes), Kuala Lumpur (1,499 kes), Kedah (695 kes), Johor (599 kes), Pulau Pinang (509 kes), Melaka (484 kes), Sabah (370 kes), Sarawak (363 kes), Perak (344 kes), Kelantan (255 kes), Sabah 370 (73,506) Sarawak 363 (70,228).

Pahang pula mencatatkan 222 kes diikuti, Terengganu (70 kes), Putrajaya (53 kes), Labuan (26 kes) dan Perlis sebanyak tiga kes.

Sebelum ini jumlah tertinggi dicatatkan semalam iaitu 11,618 kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 11:37 PM