KHAIRY Jamaluddin. FOTO Arkib NSTP
KHAIRY Jamaluddin. FOTO Arkib NSTP
Luqman Arif Abdul Karim

Kuala Lumpur: Kegagalan segelintir menteri mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikenal pasti antara faktor yang menghakis kepercayaan rakyat terhadap keberkesanan sekatan pergerakan penuh atau 'total lockdown'.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang mengakui hakikat kesan itu berkata pemimpin sebaliknya harus menerajui negara dengan mencerminkan contoh baik kepada rakyat.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa kegagalan barisan Jemaah Menteri mengundang pertikaian dalam kalangan masyarakat, sekali gus menyaksikan ramai yang mempersoalkan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

"Saya rasa dalam hal itu, kita memang ada buat kesilapan," katanya dalam temu bual bersama The Sydney Morning Herald dan The Age yang diterbitkan, hari ini.

Beberapa Jemaah Menteri dikompaun kerana melanggar SOP termasuk Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Aham), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Kepemimpinan lain dalam blok kerajaan turut dikenakan tindakan sama selepas didapati bersalah melanggar SOP yang ditetapkan bagi membendung penularan jangkitan Covid-19.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berkata kerajaan berdepan kesukaran untuk memastikan rakyat mematuhi SOP kerana mereka mengalami kelesuan pandemik.

"Walaupun tiada negara yang mempunyai rekod tindakan paling sempurna dalam membendung krisis kesihatan ini, kita sebenarnya boleh melakukan yang lebih baik.

"Saya tidak menyalahkan rakyat kerana untuk mematuhi semua jenis kekangan dan larangan terhadap tindak tanduk kita sememangnya sesuatu (yang sukar).

"Akhirnya, pasti ada masa di mana orang ramai akan terleka," katanya.

Menyentuh percaturan program imunisasi, Khairy berkata Malaysia berupaya memacu kadar inokulasi di seluruh negara hasil rundingan semula dengan pembekal pelalian.

Katanya, pendekatan itu ialah jalan terbaik, memandangkan perolehan bekalan hanya dari satu syarikat farmaseutikal atau saluran bakal mengundang risiko pada masa depan.

"Sebab itu kita runding dengan pelbagai pihak dan perluaskan sumber portfolio vaksin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 5:18 PM