BADROL Hisham Ramli mengambil alih untuk menjaga anjing dan kucing di Pak Mie Shelter setelah kematian ibunya Februari lalu. FOTO ihsan Badrol Hisham Ramli
BADROL Hisham Ramli mengambil alih untuk menjaga anjing dan kucing di Pak Mie Shelter setelah kematian ibunya Februari lalu. FOTO ihsan Badrol Hisham Ramli
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: "Saya sebenarnya hampir mengangkat bendera putih, saya terpaksa menampung kos makanan dan pengurusan anjing dan kucing sebanyak RM8,000 sebulan serta ubat-ubatan RM1,000 setiap bulan," kata Badrol Hisham Ramli, 54, yang menguruskan Pak Mie Shelter, Tanjung Bendahara di sini.

Menurutnya, dia terpaksa mengurangkan jumlah anjing dan kucing daripada kira-kira 560 ekor kepada 280 ekor berikutan perbelanjaannya terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu.

Katanya, sejak kematian ibunya, Halijah Idris, 73, pada Februari lalu, pelbagai dugaan terpaksa ditempuh termasuk kekurangan dana untuk pusat itu terus bertahan.

"Akhirnya, saya terpaksa kurangkan jumlah anjing yang dijaga di sini kepada 190 ekor anjing dan kucing 90 ekor bagi menjimatkan kos, anjing dan kucing di sini diserahkan kepada orang ramai yang mahu menjaga haiwan terbabit.

"Bagaimanapun, ketika ini saya masih perlu menampung kos sebanyak RM9,000 sebulan bagi memastikan kelangsungan hidup anjing dan kucing di sini," katanya ketika dihubungi.

Badrol Hisham berkata, setiap pagi akan menjadi rutin hariannya untuk memasak kira-kira 30 kilogram (kg) ayam serta 40 kg beras serta 40 kg biskut haiwan sebelum memberinya itu makan pada waktu pagi dan petang.

Menurutnya, sebelum ini Pak Mie Shelter menerima dana daripada beberapa individu dan syarikat, namun ia semakin berkurangan selepas masing-masing terkesan kerana PKP.

"Keadaan pusat jagaan ini juga sudah terlalu uzur, terletak berhampiran dengan sungai menyebabkan banyak struktur tempat ini sudah rosak.

"Pusat jagaan ini sudah beberapa kali sepatutnya berpindah, namun kerana kekangan PKP serta bantahan penduduk, kami masih kekal di sini.

"Saya sangat berharap kerajaan negeri akan menyegerakan kawasan baharu untuk menempatkan haiwan ini dan saya difahamkan lokasi baharu sudah dipersetujui di Bukit Perak, Pendang.

"Ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi oleh kerajaan negeri dan kali terakhir saya menyertai mesyuarat bersama kerajaan negeri secara dalam talian adalah pada Mac lalu, saya mencadangkan agar haiwan ini dapat dipindahkan dahulu ke sana dengan mendirikan tempat yang kecil bagi mengurangkan kos," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah Datuk Dr Mohd Hayati Othman ketika dihubungi berkata, peruntukkan sebanyak RM1 juta diperlukan bagi membangunkan tempat jagaan di Bukit Perak sebagai lokasi pemindahan pusat haiwan terbiar dari Pak Mie Shelter berkenaan.

"Tanah berkenaan sudah digazetkan untuk dijadikan pusat pengurusan haiwan terbiar. Ini kerana kita perlu wujudkan tempat kurungan dan tempat haiwan itu bermain.

"Bagi pencinta haiwan, kita mengajak mereka untuk sama-sama memberi sumbangan idea dan sebagainya bagi memastikan haiwan ini dapat diurus dengan cara terbaik bagi mengekang penularan penyakit, ancaman atau rasa tidak selesa kepada masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 5:37 PM