KEADAAN True Love Castle di Jalan Reko, Kajang.
KEADAAN True Love Castle di Jalan Reko, Kajang.
Murnaena Muhammad Nasir


"SELAMA ini biasa dengar kejadian banjir berlaku di kawasan lain, namun malang tak berbau, kali ini terjadi pada diri sendiri pula. Hanya Allah yang tahu betapa peritnya rasa," kata Asrol Adizar.

Asrol Adizar, 34, yang juga pengurus pusat jagaan kucing, True Love Castle di Jalan Reko, Kajang berkongsi di Facebook (FB) momen banjir yang meragut lima ekor kucing di bawah jagaannya, Sabtu lalu.

"Empat daripada lima ekor kucing yang mati adalah kucing pelanggan yang dihantar untuk dijaga kerana mereka ada urusan kerja luar negeri.

"Satu daripadanya kucing saya yang diselamatkan tiga tahun lalu di Serdang. Saya namakan dia 'Joker' sebab jumpa waktu itu mulutnya dipenuhi ulat.

"Saya terkesan sangat dengan kehilangannya sebab dia antara kucing yang ada dengan saya waktu susah. Dulu tak sesenang sekarang, makan pun makanan murah saja," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain itu, banjir yang berlaku turut menyebabkan seekor anjing peliharaan Asrol Adizar hilang dihanyut air dan tidak ditemui sehingga sekarang.

"Saya risau dan takut apa-apa terjadi padanya memandangkan dia sudah tua dan buta," katanya.

Katanya, dia tinggal di pusat jagaan kucing itu sejak tiga tahun lalu dan ini kali pertama berlaku banjir seteruk ini.

"Malam (Sabtu) itu, saya dapat panggilan daripada jiran beritahu kawasan rumah dinaiki air sehingga paras pinggang.

"Saya redah banjir dan beranikan diri berjalan ke rumah sejauh 200 meter dari tempat letak kereta untuk selamatkan kucing dan anjing peliharaan saya," katanya.

Katanya, sejurus sampai di rumah, dia terus memeriksa keadaan haiwan jagaannya terutama yang berada dalam sangkar.

"Saya sempat selamatkan dua kucing yang berada di sangkar bawah, kuasa Allah mereka boleh selamat dan bertahan.

"Tak dapat digambarkan perasaan saya ketika melihat kucing peliharaan tercungap-cungap akibat lemas," katanya.

Menurutnya, menerusi perkongsiannya di FB, ramai yang bermurah hati menghulurkan bantuan wang, peralatan dan membantunya mengemaskan rumah walaupun tidak diminta.

"Saya amat hargai bantuan kalian berikan kerana sekecil-kecil bantuan itulah yang mampu menaikkan saya semula walaupun saya jatuh biar berjuta kali sekalipun.

"Saya ambil iktibar di atas apa yang berlaku bagi memperbaiki diri saya terutama dalam menguruskan penjagaan haiwan.

"Setakat ini, wang yang disumbangkan sudah mencecah RM8,000 dan saya akan guna sebaiknya untuk menampung kerosakan dan selebihnya saya akan salurkan ke pusat jagaan haiwan di Batang Kali," katanya.

True Love Castle adalah pusat jagaan dan perlindungan kucing serta anjing yang diusahakan Asrol Adizar sejak 10 tahun lalu.

Terkini, pusat berkenaan menempatkan 52 ekor kucing dan 11 ekor anjing di bawah jagaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 4:25 PM