TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO Hazreen Mohamad
TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz. FOTO Hazreen Mohamad
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Penerima Geran Khas Prihatin (GKP) yang tidak diluluskan permohonan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) atau Bantuan Khas COVID (BKC) B40 akan dipertimbangkan untuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) secara automatik mengikut syarat kelayakan tanpa perlu membuat permohonan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan komited untuk membantu golongan memerlukan terutamanya golongan rentan dengan menyediakan bantuan tunai sebanyak RM8.2 bilion di bawah BKM pada 2022 yang akan memanfaatkan 9.6 juta penerima.

"Seperti dimaklumkan semasa Sesi Penggulungan Kementerian Kewangan Peringkat Jawatankuasa bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2022 pada 24 November lalu, proses permohonan BKM pada tahun depan akan dipermudahkan untuk kesejahteraan semua.

"Bagi memastikan tiada yang tercicir, penerima GKP yang tidak diluluskan permohonan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) atau BKC B40 akan dipertimbangkan untuk BKM secara automatik mengikut syarat kelayakan tanpa perlu membuat permohonan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, data penerima BPR dan BKC B40 bersama-sama dengan data daripada agensi kerajaan lain.

"Ia merangkumi data e-Kasih, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), penghuni perumahan awam atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Orang Asli dibawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

"Selain itu, ia turut membabitkan gelandangan berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan DBKL, ibu tunggal berdaftar dengan KPWKM, penerima Skim Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan penerima zakat atau Baitulmal di Lembah Klang juga akan dimasukkan ke dalam data permohonan BKM bagi mengurangkan 'exclusion error'," katanya.

Beliau berkata, bagi permohonan baharu dan kemas kini BKM pula, tempoh pendaftaran akan dibuka mulai 1 hingga 31 Januari 2022.

"Ia bagi memastikan mereka yang layak dan tiada dalam pangkalan data kerajaan diberikan peluang untuk memohon.

"Pembayaran BKM akan dilaksanakan empat kali setahun dan tarikh pembayaran BKM yang pertama dijangka pada Mac 2022," katanya.

Katanya, maklumat lanjut berkaitan BKM boleh dirujuk pada Soalan Lazim (FAQ) yang dimuat naik di portal Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

"Kerajaan sentiasa komited memastikan bantuan yang disediakan menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 8:34 PM