Pati berkenaan. FOTO Ihsan PGA
Pati berkenaan. FOTO Ihsan PGA
Ruwaida Md Zain


Kuala Langat: Sekumpulan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang dipercayai tiada hala tuju selepas mendarat di persisiran pantai Long Beach, Morib, di sini, ditahan oleh Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih bersama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), pagi semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, pihaknya menahan lapan lelaki dewasa dan tujuh perempuan dewasa yang sedang bersembunyi di kawasan berkenaan sewaktu membuat pemantauan, jam 7.50 pagi.

"Pemeriksaan mendapati kesemua warga asing yang berumur antara 19 hingga 58 tahun itu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

"Mereka dipercayai baru masuk ke negara ini menerusi laluan tidak diwartakan iaitu jalan laut dengan menggunakan bot.

"Siasatan mendapati, kumpulan Pati ini dipercayai tiada hala tuju dan hanya akan menghubungi kenalan yang menetap di Malaysia, jika mereka berjaya melepaskan diri daripada pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan.

Rizal berkata, siasatan mendapati, modus operandinya, mereka mencari peluang pekerjaan di Malaysia yang dipromosikan oleh ejen di sana dan akan berhubung dengan ejen berkenaan.

"Jika setuju, Pati akan bayar wang pendahuluan kepada ejen kepada ejen untuk menguruskan perjalanan masuk ke Malaysia melalui jalan laut.

"Apabila sampai di perairan Malaysia, Pati akan diturunkan di tepi pantai dan menunggu hari sudah cerah untuk meneruskan perjalanan melalui cara menghubungi kenalan di Malaysia bagi membolehkan e-hailing menjemput mereka," katanya.

Beliau berkata, semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 8:22 AM