GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
T N Alagesh


Kuantan: Kumpulan 18 individu termasuk seorang wanita disyaki pekebun haram yang ditahan kerana memasuki kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub tanpa kebenaran pada Ahad lalu direman dua hari bagi membantu siasatan, hari ini.

Perintah reman berkenaan dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Raub Yusri Wanu Suki.

Terdahulu, kesemua mereka dibawa dengan menaiki lori polis tiba di perkarangan mahkamah pada 11 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Senior Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, kesemua pekebun berkenaan ditahan sejak semalam bagi membantu siasatan.

Menurutnya, mereka disiasat mengikut Seksyen 187 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 427 kanun sama kerana khianat, namun sudah dibebaskan dengan jaminan polis malam semalam.

"Bagaimanapun, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) kini membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984 kerana memasuki kawasan hutan simpan tanpa kebenaran, dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan JPNP bertindak tegas dengan memusnahkan kebun durian Musang King seluas 101 hektar yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Batu Talam, di sini, mulai semalam.

Pengarah JPNP, Datuk Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, operasi bersepadu selama sebulan sehingga bulan depan itu membabitkan pelbagai agensi dan tertumpu dalam kawasan Hutan Simpan Batu Talam.

Menurutnya, tumpuan diberikan kepada aktiviti rondaan dan tangkapan individu yang memasuki hutan simpan tanpa kebenaran.

"Unit penguat kuasa JPNP dibahagikan kepada beberapa kumpulan, mereka melakukan rondaan dan tangkapan selain turut menjalankan kerja penandaan zon kawasan tebangan yang bermula hari ini.

"Kita perlu bertindak tegas dalam memastikan aktiviti menceroboh Hutan Simpan Batu Talam tidak terus berlaku pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berita berkaitan

Operasi musnah kebun Musang King bermula

Adun Tras, 18 pekebun durian ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 4:46 PM