NUR Karimah (kiri) dan Aslinda memberi Kelaik minum susu. FOTO Mohd Rafi Mamat
NUR Karimah (kiri) dan Aslinda memberi Kelaik minum susu. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

Temerloh: "Hati saya terhibur setiap hari sejak lapan bulan ditugaskan menjaga Kelaik anak gajah betina yang ditempatkan dalam kurungan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang, di sini.

"Manja, nakal dan suka bergurau, perangai haiwan itu membuatkan saya begitu menyayanginya," kata Pembantu Hidupan Liar, Nur Karimah Kamaluddin, 32.

Menurutnya, rutin harian menjaga anak gajah berusia sembilan tahun itu ialah memberi minum susu lima kali sehari, susu khas dicampur dengan roti dan sejenis gula merah dan air. Buah-buahan seperti tembikai dan betik juga diberikan sebagai makanan tambahan.

Katanya, Kelaik yang ditinggalkan ibunya memerlukan kasih sayang dan tempat bermanja, sebagai penjaga dia perlu sentiasa memberi perhatian supaya haiwan berkenaan dapat membesar dengan sempurna dan tidak berlaku masalah kesihatan.

"Untuk membentuk kemesraan dengan Kelaik saya sentiasa bercakap dengannya terutama ketika memberi susu dan makan buah, walaupun tidak memahami sepenuhnya namun sekurang-kurangnya ia dapat mengingati suara penjaganya.

"Untuk mengurangkan tekanan, setiap hari anak gajah itu dibawa berjalan dan mandi di sungai, kemesraan saya dengan Kelaik menjadi semakin ketara seolah-olah seperti anak dengan ibu," katanya yang menetap di Kampung Bolok, di sini.

NUR Karimah membancuh susu untuk Kelaik. FOTO Mohd Rafi Mamat
NUR Karimah membancuh susu untuk Kelaik. FOTO Mohd Rafi Mamat

Dia dan rakan Aslinda Mahamed, 42, bertugas sepenuhnya menjaga anak gajah berkenaan yang ditemui di Kampung Orang Asli Kelaik, Gua Musang Kelantan selepas ditinggalkan kumpulannya tahun lalu.

Nur Karimah menambah, dia pernah terjatuh apabila Kelaik bergurau dengan cara melanggarnya dari belakang, perangai haiwan berkenaan seperti kanak-kanak kerana ada ketikanya merajuk, marah dan makan perlu disuap.

"Botol khas digunakan untuk memberi Kelaik minum susu, saya perlu menyuapnya yang mengambil masa antara dua hingga empat minit bagi sebotol susu seberat 2.5 liter.

"Aktiviti lain yang perlu saya lakukan setiap hari ialah mencuci kandang anak gajah berkenaan termasuk beberapa kandang lain," katanya yang lebih 12 tahun bertugas di PKGK Kuala Gandah Lanchang.

ASLINDA membawa Kelaik berjalan di PKGK Kuala Gandah Lanchang. FOTO Mohd Rafi Mamat
ASLINDA membawa Kelaik berjalan di PKGK Kuala Gandah Lanchang. FOTO Mohd Rafi Mamat

Bagi Aslinda, minat pada gajah perlu ada dalam diri membolehkan dia bertugas menjaga anak gajah yang ketiadaan ibu, bukan mudah tugas berkenaan yang memerlukan kesabaran dan ketekunan.

Menurutnya, bermula jam 8 pagi, dia dan Nur Karimah sudah bertemu dengan Kelaik dan beberapa gajah lain yang berada dalam kurungan, selepas selesai semua tugas, jam 5 petang kami pulang.

Namun, jika ada masalah pada gajah pada waktu malam, mereka turut bertugas.

Katanya, penyediaan susu dilakukan mengikut sukatan yang ditetapkan oleh doktor, ia bagi mengelak berlaku masalah kesihatan terutama membabitkan sistem penghadaman.

ASLINDA menyuap makanan kepada Kelaik. FOTO Mohd Rafi Mamat
ASLINDA menyuap makanan kepada Kelaik. FOTO Mohd Rafi Mamat

"Kelaik perlu mandi setiap hari jika cuaca panas. Saya dan Nur Karimah terpaksa mandi bersama haiwan berkenaan sambil membersih badannya.

"Kami seronok dapat menjaga anak gajah berkenaan setiap hari, peluang yang diberikan itu digunakan sepenuhnya dalam usaha menimba lebih banyak pengalaman menjaga anak gajah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 7:10 AM