GAJAH betina berusia dua tahun kudung selepas terkena jerat dawai ketika ditemui di Jeli Kelantan.
GAJAH betina berusia dua tahun kudung selepas terkena jerat dawai ketika ditemui di Jeli Kelantan.
Nazirul Roselan

Temerloh: Nasib malang Elly, anak gajah betina berusia dua tahun yang kudung kaki akibat terkena perangkap samar setahun lalu, bertukar apabila Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) memberi sumbangan kaki palsu untuk memudahkan pergerakan haiwan itu.

Elly ditemui di Jeli, Kelantan dalam keadaan kudung dan kini ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang menerima kaki palsu bernilai RM50,000.

Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank, Norzilah Mohammed berkata, pihaknya juga menjadikan Elly sebagai anak angkat dan memberinya kaki palsu untuk memudahkan pergerakannya.

“Selain kaki palsu, kami turut menyalurkan sumbangan seperti ubat- ubatan untuk kegunaan harian dan juga ‘Padok’ mudah alih untuk Elly.

“Kita turut menyumbang dua kaki palsu untuk Elly iaitu satu dipakai dan satu lagi digantikan enam bulan akan datang,” katanya.

ZAINAL menunjukkan kaki palsu (prosthetic leg) sumbangan EXIM Bank yang dipakaikan kepada Elly.
ZAINAL menunjukkan kaki palsu (prosthetic leg) sumbangan EXIM Bank yang dipakaikan kepada Elly.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Alam Sekitar EXIM Bank di PKGK Kuala Gandah, Lanchang, dekat sini, semalam.

Elly adalah gajah kedua yang menerima kaki palsu daripada EXIM Bank selepas seekor gajah betina bernama ‘Selendang’ berusia 13 tahun turut menerima kaki palsu di PKGK, tahun lalu.

Norzilah berkata, program CSR itu adalah satu daripada usaha bank itu untuk membantu pemeliharaan dan pemuliharaan gajah di negara ini.

Sementara itu, penjaga Elly, Zainal Abdul Samad berkata, kaki palsu itu sangat membantu memudahkan pergerakan seharian haiwan berkenaan.

“Malah Elly tidak kekok untuk memakai kaki baharunya dan ia juga kelihatan serasi serta selesa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 10:11 AM