Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Penduduk termasuk majikan dan pekerja di Taman Nagasari, di sini, diarah untuk kembali ke kediaman masing-masing dengan segera selepas dipercayai meninggalkan rumah mereka.

Keadaan itu dipercayai berlaku sejurus kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lokasi berkenaan mulai esok sehingga hingga 17 Julai ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, pihaknya mendapati terdapat penduduk yang tidak bertanggungjawab keluar dari lokasi berkenaan untuk tinggal di tempat lain.

Katanya, amaran keras diberikan kepada penduduk serta majikan terbaboit yang bertindak membelakangi keselamatan awam dan menyalahi undang-undang.

"Majikan dan pekerja diarah kembali ke kediaman masing-masing supaya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh melakukan saringan komuniti dengan cepat.

"Bagi yang ingkar, MBSP mengingatkan bahawa kita mempunyai rekod pemilik yang lengkap untuk menjejaki mereka dan akan menjalankan operasi bersama polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan KKM," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

KAKITANGAN KKM lengkap memakai PPE mengambil individu dipercayai warga asing yang disahkan positif Covid-19 di Taman Nagasari. FOTO Danial Saad
KAKITANGAN KKM lengkap memakai PPE mengambil individu dipercayai warga asing yang disahkan positif Covid-19 di Taman Nagasari. FOTO Danial Saad

Katanya, terdapat 940 premis membabitkan 244 unit industri, 66 (perdagangan), 295 (rumah teres) dan 335 (rumah pangsa) di kawasan berkenaan.

Difahamkan, anggota ATM mulai berada di lokasi itu sejak jam 3 petang tadi untuk pemasangan kawad berduri, selain terdapat wakil kilang mula mengagihkan makanan kering kepada pekerja.

Petugas KKM lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE) turut berada di lokasi untuk membawa individu-individu disahkan positif Covid-19 ke pusat kuarantin.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 8:01 PM