Abd Jalil melihat barang rampasan dan pelacur dalam Ops Patuh di sebuah kondominium di Pudu. FOTO FATHIL ASRI.
Abd Jalil melihat barang rampasan dan pelacur dalam Ops Patuh di sebuah kondominium di Pudu. FOTO FATHIL ASRI.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Mempromosikan diri menerusi laman sosial selain menggunakan khidmat 'transporter'.

Itu modus operandi 'ayam siam' yang terdesak meneruskan operasi haram menjual diri sejak sebulan lalu.

Namun, tindakan pelacur berusia 24 hingga 32 tahun itu berakhir selepas 'reban' mereka di sebuah kondominium di Pudu, di sini, diserbu polis, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, wanita terbabit akan mempromosikan khidmat seks menerusi Wechat, Instagran dan WhatsApp untuk mencari pelanggan.

Menurutnya, wanita terbabit menawarkan khidmat seks dengan bayaran RM200 manakala RM50 daripada itu akan diserahkan kepada lelaki tempatan sebagai 'transporter'.

"Wanita terbabit akan mencari pelanggan menerusi media sosial dan menggunakan transporter untuk menghantar mereka ke lokasi ditetapkan pelanggan.

"Bagi menyembunyikan aktiviti haram ini, mereka akan bergerak secara individu dan pergi ke lokasi ditetapkan pelanggan," katanya ketika ditemui sebaik tamat operasi Ops Patuh dan Ops Pantau, hari ini.

Abd Jalil berkata, wanita yang ditahan masuk ke negara ini sejak setahun lalu dan semuanya sudah tamat tempoh pas perjalanan.

Katanya, semua disiasat mengkut Akta Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) kerana mungkin menjadi mangsa eksploitasi seks.

"Polis juga menahan seorang lelaki berusia 39 tahun di rumah ini yang bertindak sebagai transporter," katanya.

'Transporter' yang ditemui mendakwa permintaan terhadap pelacur warga asing masih ada walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Sehari hanya seorang atau dua wanita saja yang ditempah dan setiap mereka akan membayar RM50 bagi perkhidmatan menghantar ke lokasi pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 5:55 PM