AKPK memberi khidmat nasihat percuma. FOTO Arkib NSTP
AKPK memberi khidmat nasihat percuma. FOTO Arkib NSTP
Nazri Abu Bakar

Melaka: Berwaspada jika ada individu yang menyamar kononnya ejen Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi menyelesaikan masalah kewangan dihadapi.

Ketua AKPK Melaka Syaiful Anuar Bokhari berkata, AKPK tidak pernah melantik ejen atau pihak ketiga menjalankan apa apa khidmat nasihat kepada mana-mana individu yang kini terkesan susulan pandemik Covid 19.

Malah, lebih mengejutkan individu terbabit mengenakan bayaran bagi setiap perkhidmatan diberikan kepada mereka sedangkan AKPK hanya memberi khidmat nasihat percuma.

Menurutnya, orang ramai diingatkan jangan mudah terpedaya dengan mana-mana individu yang mendakwa d sebagai wakil AKPK dilantik pihak syarikat.

"Taktik ini selalunya digunakan oleh penipu `scammer' untuk menipu tanpa disedari mangsa.

"Cara mereka licik, justeru orang ramai perlu memeriksa dahulu kesahihan pemanggil berkenaan terutama jika meminta bayaran. Ini kerana agensi kami menawarkan perkhidmatan secara percuma kepada semua individu," katanya tadi.

SYAIFUL Anuar. FOTO Nazri Abu Bakar
SYAIFUL Anuar. FOTO Nazri Abu Bakar

Menurutnya, AKPK juga menasihati orang ramai untuk merujuk institusi kewangan yang sah untuk mendapatkan khidmat atau nasihat kewangan supaya tidak mudah ditipu.

Syaiful Anuar berkata, AKPK menyediakan perkhidmatannya secara dalam talian secara holistik dan menyeluruh kepada individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

"Mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan agensi terbabit boleh melayari di https://services.akpk.org.my dan menghantar borang dalam talian yang lengkap untuk dihubungi oleh penasihat kewangan AKPK.

"Selain itu, AKPK juga menyediakan panduan kewangan melalui modul-modul pendidikan kewangan di https://power.akpk.org.my," kataanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 5:54 PM