Kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengadakan pemeriksaan ke atas sebuah kilang penebat di Perai yang dipercayai mencemarkan longkang awam dengan mengalirkan cecair pewarna. FOTO Ihsan JAS Pulau Pinang
Kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengadakan pemeriksaan ke atas sebuah kilang penebat di Perai yang dipercayai mencemarkan longkang awam dengan mengalirkan cecair pewarna. FOTO Ihsan JAS Pulau Pinang
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan empat kompaun berjumlah RM8,000 ke atas sebuah kilang penebat di Perai, di sini, termasuk mengarahkan pemberhentian sementara operasinya.

Tindakan diambil berikutan kilang yang mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan dan Antarabangsa (MITI) untuk beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 itu dipercayai mengalirkan cecair berwarna ke dalam longkang awam hingga menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab bberkata, pemeriksaan dibuat selepas pihaknya menerima aduan awam berhubung insiden itu.

"Kilang itu kemudian dikenakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ke atas peralatan pemprosesan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Empat kompaun berjumlah RM8,000 turut dikeluarkan kepada pemilik kilang di bawah Peraturan 5, 6, 7 dan 17 Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

"Notis Arahan Seksyen 31 dan 37 di bawah peraturan yang sama dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 juga dikeluarkan untuk premis itu menyelenggara dan menambah baik sistem rawatan efluen dan alat kawalan udara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kilang berkenaan hanya akan dibenarkan beroperasi semula selepas langkah pembaikan yang memuaskan diambil.

"Pihak industri yang mendapat kebenaran beroperasi dinasihatkan untuk mengamalkan pengeluaran bersih dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam pemeliharaan alam sekitar, di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi pencegahan kawalan penyakit berjangkit.

"JAS Pulau Pinang mengadakan rondaan dan pemeriksaan secara kerap ke kawasan-kawasan industri bagi memastikan industri mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 2:25 PM