Petugas kesihatan menyuntik penerima yang hadir bagi mendapatkan suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Petugas kesihatan menyuntik penerima yang hadir bagi mendapatkan suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Yusmizal Dolah Aling dan Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Lebih 400 petugas Parlimen mula menerima suntikan vaksin Covid-19 hari ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata, ia sebagai persediaan kepada pembukaan sidang Parlimen yang dijadualkan dalam masa terdekat.

Menurutnya, petugas berkenaan menerima suntikan di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di ibu negara.

"Ini termasuklah kakitangan Parlimen yang terbabit dengan pembersihan, katering dan sebagainya.

"Ini sebagai persediaan kepada pembukaan sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang akan ditentukan tidak lama lagi.

"Kita mahu memastikan setiap petugas Parlimen mendapat perlindungan sewajarnya bagi mengelakkan jangkitan berlaku," katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

Hadir sama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Khairy berkata, ahli Parlimen juga sudah dimaklumkan mengenai pegawai mereka juga layak untuk menerima vaksin bagi memastikan individu yang hadir nanti divaksin sepenuhnya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 2:30 PM