MOHD Fauzi (tiga kiri) melihat pegawainya melakukan pemeriksaan dokumen syarikat pinjaman kewangan ketika operasi pemantau premis kredit komuniti di Bangi. FOTO Mohd Fadli Hamzah
MOHD Fauzi (tiga kiri) melihat pegawainya melakukan pemeriksaan dokumen syarikat pinjaman kewangan ketika operasi pemantau premis kredit komuniti di Bangi. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Muhaamad Hafis Nawawi


Bangi: Sebanyak 335 aduan diterima Bahagian Kawalan Kredit Komuniti (BKK) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tahun lalu berkaitan kesalahan dilakukan syarikat kredit komuniti.

Ketua Cawangan Siasatan dan Pemantauan (Bahagian Kawalan Kredit Komuniti) KPKT Asisten Komisioner Mohd Fauzi Hassan berkata, daripada jumlah aduan itu, paling tinggi berkaitan tidak menghantar atau lewat menghantar rekod transaksi tahunan iaitu sebanyak 189 aduan.

Menurutnya, jumlah aduan kedua tertinggi pula adalah berkaitan kesalahan mengikut Seksyen 16 (1) Akta Peraturan-peraturan Pemberi Pinjam Wang 1951, sebanyak 49 aduan iaitu tiada dokumen perjanjian pinjaman diserahkan atau dokumen perjanjian lewat stamping.

"Daripada jumlah aduan dikenal pasti, pihak BKK mengambil tindakan dengan membuka sebanyak 306 kertas siasatan ke atas aduan diterima membabitkan 172 masih dalam siasatan sementara 122 kes dikompaun dan 12 dituduh atas pelbagai kesalahan.

"Terdapat 4,870 premis Syarikat Kredit Komuniti yang berdaftar di seluruh negara membabitkan 3,301 di semenanjung sementara selebihnya di Sabah dan Sarawak," katanya pada sidang media selepas melakukan pemantauan premis syarikat kredit komuniti di Bandar Baru Bangi di sini, hari ini.

Mohd Fauzi berkata, pemantauan dilakukan bagi memastikan pengoperasian syarikat kredit komuniti mematuhi Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan peraturan berkaitan serta mengambil tindakan sekiranya berlaku kesalahan dilakukan mereka.

"Hasil pemeriksaan di dua premis syarikat terbabit hari ini mendapati mereka melakukan beberapa kesalahan dan akan disiasat untuk diambil tindakan.

"Ingin dijelaskan di sini, syarikat komuniti kredit ini berlesen dan mereka tidak sama seperti along.

"Kami sentiasa memantau urus niaga mereka, setiap tahun transaksi dibuat peminjam perlu dihantar kepada BKK untuk dianalisa dan jika ada kesalahan dilakukan akan diambil tindakan," katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai perlu bijak dan hanya berurusan dengan syarikat kredit serta pinjaman berdaftar sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 2:46 PM