Mohd Roji Kawi


Kuching: Inisiatif Almari Infaq yang dicetuskan Sakkok Veteran FC, Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa, di sini berjaya membantu penduduk kampung berkenaan yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menerusi inisiatif itu, Sakkok Veteran FC mengumpul sumbangan berupa barangan keperluan harian daripada orang ramai dan mengagihkannya kepada penduduk yang memerlukan.

Penyelaras program, Simi Solhi berkata, program bantuan itu dilaksanakan selepas menyedari ramai penduduk memerlukan bantuan.

Tambahan pula katanya, kampung berkenaan baru sahaja tamat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) 23 Jun lalu.

Menurutnya, selaras dengan slogan 'Ambil Jika Perlu, Derma Jika Mampu' pihaknya mempelawa penduduk yang memerlukan keperluan harian mendapatkannya pada hari yang ditetapkan.

"Kami menerima pelbagai barang keperluan antaranya beras, gula, minyak masak, telur ayam, tepung, mi segera, makanan dalam tin, biskut malah sayuran segar yang disumbangkan orang ramai termasuk penduduk kampung terutama ahli perniagaan.

SIMI Solhi mengagihkan barangan keperluan kepada penduduk yanh terkesan akibat PKP di Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa. FOTO Mohd Roji Kawi
SIMI Solhi mengagihkan barangan keperluan kepada penduduk yanh terkesan akibat PKP di Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa. FOTO Mohd Roji Kawi

"Sebagai permulaan, hari ini kami menyediakan tempat untuk penduduk mengambil sendiri barangan yang diperlukan kerana kampung ini baru tamat PKPD.

"Kami merancang untuk menjayakan program ini pada pertengahan bulan pula," katanya.

Simi berkata, sebelum ini pihaknya sudah menyediakan bantuan untuk diagihkan kepada penduduk yang benar-benar memerlukan.

"Program sedia ada itu kami teruskan, cuma ditambah baik dengan program Almari Infaq yang terbuka kepada semua kerana kami sedar ramai penduduk yang terkesan ketika PKP ini," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Salbiah Husaini, 72, berkata, program bantuan itu tepat pada masanya kerana ramai yang terkesan sejak pandemik Covid-19 melanda.

"Syukur alhamdulillah, usaha anak-anak kampung ini sendiri mampu mengurangkan beban yang kami tanggung dalam keadaan sukar sekarang.

"Kami boleh mengambil apa sahaja barang kami perlukan dan ia sememangnya satu langkah baik yang belum pernah diadakan sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 3:06 PM