GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Ipoh: Kepantasan seekor anak anjing berusia lapan bulan yang diberi nama 'Anandaveli' menggigit pipi, telinga serta menarik rambut dan baju tuannya menyelamatkan lima sekeluarga dalam kebakaran di Teluk Intan dekat sini, awal hari ini.

Dalam kejadian 5 pagi di rumah teres dua tingkat di Eastern Garden itu, seorang daripada mangsa kebakaran A Vimala, 53, berkata, dia tersedar selepas tindakan anjing betina itu mengejutkannya daripada tidur dan mendapati api sedang marak di bahagian tengah rumah yang juga merupakan tempat sembahyang mereka sekeluarga.

"Pada mulanya saya separuh sedar, saya ingat tindakan Anandaveli itu adalah disebabkan kehausan jadi saya menyuruhnya untuk pergi ke dapur. Tetapi disebabkan Anandaveli terus menarik kaki saya dengan kuat, saya terjaga dan mula sedar kebakaran sedang berlaku di dalam rumah.

"Saya terus menjerit pada anak-anak saya iaitu Raaghi, 23, Prakash, 22, dan Vimalan, 18, untuk menyelamatkan diri dengan keluar daripada rumah," katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, dia berkata, sejurus berada di luar rumah, didapati bahawa suaminya N Marimuthu Naidu, 58, yang menghidap penyakit separa lumpuh masih berada di bilik belakang rumah berkenaan ketika api sedang marak.

"Saya menyuruh anak bongsu saya Vimalan untuk menyelamatkan ayahnya. Vimalan meredah kebakaran dan mendukung bapanya keluar dari rumah," katanya yang kini terpaksa menumpang berteduh di rumah ibu di Jalan Laksamana.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Bedamar Terence Naidu berkata, kebakaran itu berjaya dipadamkan oleh 12 anggota dengan dua jentera dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Teluk Intan pada 6.30 pagi dan jumlah kerugian kebakaran dianggarkan bernilai RM50,000.

"Kami akan memberi bantuan kepada Vimala sekeluarga dalam bentuk wang kecemasan, makanan dan mendapatkan wang bantuan daripada dana bencana dari pejabat daerah. Kami juga akan cuba bantu untuk dapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dalam masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 8:54 PM