MUHAMMAD Fariq menunjukkan  rumahnya yang  musnah dijilat api dalam kebakaran di Kampung Terengganu, Teluk Intan. FOTO Abu Bakar Al Sidek
MUHAMMAD Fariq menunjukkan rumahnya yang musnah dijilat api dalam kebakaran di Kampung Terengganu, Teluk Intan. FOTO Abu Bakar Al Sidek
Abu Bakar Al lsidek


“SAYA menjerit api beberapa kali sebelum bersama anak perempuan terpaksa mendukung suami keluar rumah untuk menyelamatkan diri,” kata Chan Sun Yet, 63, seorang daripada mangsa kebakaran di Kampung Terengganu, Teluk Intan, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.45 malam itu, empat rumah musnah terbakar, namun tidak membabitkan kemalangan jiwa.

Chan berkata, dia bersama suami, Liew Yook Loon, 64, serta anak perempuan berusia 17 tahun berada di rumah ketika kebakaran berlaku.

Menurutnya, suaminya yang mempunyai masalah jantung mengalami sesak nafas susulan kebakaran menyebabkan dia bersama anak nekad mendukungnya keluar rumah.

“Saya dengan anak mendukung suami yang mengalami sesak nafas kerana terhidu asap dan berada di tempat tidur.

“Suami memang ada sakit jantung dan sekarang dia dirawat di Hospital Teluk lntan,” kata peniaga makanan itu ketika ditemui, hari ini.

Chan berkata, akibat kebakaran itu keluarganya mengalami kerugian mencecah RM50,000 selain hilang tempat tinggal.

Bencana itu turut mengakibatkan peniaga sate, Muhammad Fariq Sukardi, 26, bersama keluarganya kini tinggal sehelai sepinggang.

Muhammad Farid berkata, dia bersyukur kerana isterinya, Norhidayu Karnain, 26, dan anak Nur Safiyya Humairah berusia 20 bulan terselamat dalam kejadian berkenaan.

“Saya sekeluarga terjaga daripada tidur selepas mendengar jeritan jiran dan segera lari menyelamatkan diri sebaik api mula menyambar dinding rumah.

“Kami tidak sempat menyelamatkan barang dalam rumah kerana api marak begitu kuat dan cepat," katanya yang mendakwa mengalami kerugian RM45,000.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Zulkaflie Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 1 pagi dan sebaik tiba, 90 peratus daripada rumah terbabit sudah musnah terbakar.

Beliau berkata, api dapat dipadam sepenuhnya jam 3.13 pagi dengan bantuan anggota BBP Hutan Melintang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 10:21 PM