Tan Sri Affendi Buang.
Tan Sri Affendi Buang.
Suraya Roslan
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Panglima Angkatan Tentera bagi negara Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) bersetuju meneruskan pembangunan keupayaan peperangan bukan konvensional selari dengan cabaran keselamatan akan datang.

Persidangan FPDA Defence Chiefs' Conference (FDCC) kali ke-20 itu dianjurkan Malaysia secara maya di Wisma Pertahanan, di sini, semalam.

Persidangan yang dianjurkan secara bergilir-gilir oleh Malaysia dan Singapura itu adalah forum profesional ketenteraan peringkat tertinggi dalam FPDA yang menyediakan platform untuk Panglima Angkatan Tentera negara FPDA berdialog serta bertukar pendapat mengenai isu berkaitan dengan pembangunan kapasiti dan keselamatan serantau.

Kali terakhir persidangan itu dianjurkan di Singapura pada 2019.

Persidangan itu dipengerusikan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan dihadiri Panglima Angkatan Tentera Australia Jeneral Angus Campbell, Panglima Angkatan Tentera New Zealand Air Marshal Kevin Short, Panglima Angkatan Tentera Singapura Leftenan Jeneral Melvyn Ong Su Kiat dan Timbalan Panglima Angkatan Tentera United Kingdom Laksamana Sir Tim Fraser.

Dalam persidangan ini, Panglima Angkatan Tentera bagi negara FPDA menegaskan komitmen mereka terhadap FPDA serta prinsip asas peraturan pertahanan itu.

Di samping itu, katanya, mereka juga menegaskan komitmen terhadap FPDA serta prinsip asas peraturan pertahanan itu.

"Persidangan kali ini turut menekankan mengenai kepentingan FPDA sebagai peraturan pertahanan yang konstruktif dan telus yang juga adalah sebahagian daripada struktur keselamatan serantau.

"Selain meneruskan dan memperkukuhkan latihan ketenteraan dalam bidang peperangan konvensional, persidangan pada kali ini bersetuju supaya FPDA meneruskan pembangunan keupayaan peperangan bukan konvensional selari dengan cabaran keselamatan semasa dan akan datang melalui latihan yang berkaitan dengan ancaman keganasan, bantuan kemanusiaan dan bencana serta keselamatan maritim," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Panglima Angkatan Tentera bagi negara FPDA juga bersetuju aspek ketelusan perlu diteruskan melalui program pemerhati yang mana akan memberi peluang kepada negara serantau untuk memahami setiap pelaksanaan latihan dan aktiviti FPDA.

"Usaha ini adalah bagi memastikan FPDA kekal relevan dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau.

"Panglima Angkatan Tentera bagi negara FPDA turut mengambil maklum keperluan FPDA untuk menjadi lebih fleksibel dan meningkatkan ketahanan dalam menghadapi situasi pandemik Covid-19 supaya setiap aktiviti dan latihan ketenteraan dapat dijalankan dalam persekitaran yang selamat," katanya.

Menurutnya, kejayaan penganjuran Eksesais Bersama Shield 2021 (BS21) secara maya di Kuantan, Pahang pada 13 hingga 28 April lalu adalah bukti terbaik komitmen dan kerjasama negara ahli FPDA dalam menjayakan pelaksanaan latihan ketenteraan dalam situasi yang mencabar.

"Antara perkara yang dibentangkan di persidangan ini adalah berkenaan dengan FPDA Exercise Concept Directive 2021 dan perbincangan mengenai rancangan 10 tahun pembangunan FPDA.

"Sempena ulang tahun ke-50 FPDA, rancangan pembangunan yang dibentangkan akan menjadi panduan bagi pelaksanaan aktiviti dan latihan ketenteraan dalam meningkatkan keupayaan FPDA untuk melaksanakan operasi konvensional dan bukan konvensional serta memperkukuhkan kesepakatan dan interaksi antara negara anggota FPDA," katanya.

Panglima Angkatan Tentera bagi negara FPDA turut diberikan taklimat berkenaan dengan aspek keselamatan persekitaran serantau oleh Bahagian Staf Perisikan Pertahanan Malaysia (BSPP), aktiviti dan latihan FPDA yang diadakan pada 2019 dan 2020 serta isu berkaitan pembangunan Ibu Pejabat Sistem Pertahanan Kawasan Bersepadu (HQIADS) oleh Komander HQIADS, Air Vice Marshal, Geoffrey Harland.

Persidangan FDCC ke-20 dilaksanakan secara maya selari dengan dasar dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di Malaysia.

Selain itu, kaedah itu juga mempamerkan komitmen negara anggota untuk meneruskan aktiviti FPDA walaupun berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 7:19 PM