KUALA LUMPUR 21 OKTOBER 2021. Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berucap ketika majlis penutup Mesyuarat Menteri Menteri Pertahanan Perancangan Pertahanan Lima Negara (FPDA) ke 11 dan sambutan FPDA ke 50 yang melibatkan Malaysia, Singapura, New Zealand, Australia dan United Kingdom. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
KUALA LUMPUR 21 OKTOBER 2021. Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berucap ketika majlis penutup Mesyuarat Menteri Menteri Pertahanan Perancangan Pertahanan Lima Negara (FPDA) ke 11 dan sambutan FPDA ke 50 yang melibatkan Malaysia, Singapura, New Zealand, Australia dan United Kingdom. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pengaturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) akan terus memenuhi keperluan pertahanan lima negara anggota dan kekal relevan melalui perancangan 2022-2031.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kerjasama antara semua negara terbabit berpegang kepada prinsip 3R (remit, relevan, reassurance) dalam meneruskan strategik, proses, struktur organisasi dan aktiviti FPDA.

"Hari ini, semua Menteri Pertahanan bersetuju supaya FPDA menumpukan perhatian kepada siri peperangan kelas atasan dengan pengenalan aset generasi kelima, meningkatkan misi antikeganasan dan keselamatan maritim daripada domain bukan tradisional.

"Selain itu, memperkenalkan keselamatan siber secara progresif ke dalam latihan dan meneruskan program pemerhatian sebagai cara untuk meningkatkan ketelusan serta jaminan dengan rakan serantau," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Sambutan Ulang Tahun ke-50 Perjanjian FPDA dan 11th FPDA Defence Ministers Meeting di sini, hari ini.

Majlis berkenaan turut disertai secara maya oleh Menteri Pertahanan Singapura Ng Eng Hen, Menteri Pertahanan Australia Peter Dutton, Menteri Pertahanan New Zealand Peeni Henare dan

Menteri Pertahanan United Kingdom James Heappey.

FPDA ditandatangani pada 1971 oleh Singapura, Malaysia, Australia, New Zealand dan United Kingdom bagi memastikan Singapura dan Malaysia mempunyai saluran bantuan sekiranya berlaku serangan bersenjata.

FPDA tidak mengikat negara anggota untuk campur tangan secara ketenteraan, sebaliknya menetapkan bahawa negara anggota harus segera berunding antara satu sama lain untuk memutuskan tindakan selanjutnya.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, sambutan ulang tahun ke-50 FPDA dengan Malaysia sebagai tuan rumah ketika berdepan cabaran pandemik Covid-19, membuktikan komitmen dan hubungan baik kelima-lima negara.

"Komitmen berterusan dalam isu keselamatan konvensional dan bukan konvensional membawa kita seiring dengan cabaran rantau ini ketika mendepani ketidaktentuan dunia.

"FPDA akan menempuh perjalanan satu dekad lagi dengan landskap keselamatan yang kompleks. Justeru, FPDA ke-50 akan membawa hubungan dan kerjasama ini ke tahap lebih tinggi," katanya.

Sambutan ulang tahun itu turut diraikan dengan acara terbang lintas (fly-past) membabitkan pesawat pejuang negara anggota di Pangkalan Udara Subang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 6:09 PM