GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Proses vaksinasi perlu dipercepatkan dengan memberi perhatian kepada sektor perkilangan dan pembuatan yang berintensifkan buruh terutama selepas jangkitan harian kes Covid-19 banyak membabitkan kluster tempat kerja.

Ketua Ekonomi, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, vaksinasi juga perlu diberi keutamaan kepada sub-sektor yang menjadi tunjang kepada sektor perkilangan dan pembuatan.

Katanya, struktur ekonomi sesebuah negara mempengaruhi kaedah dan keberkesanan pengawalan jangkitan Covid-19.

"Bagi ekonomi yang berintensifkan buruh seperti Malaysia, pihak kerajaan menghadapi kesukaran dalam mengimbangi antara kos ekonomi dan jangkitan wabak Covid-19.

"Sektor perkilangan dan pembuatan negara lebih berintensifkan buruh yang memerlukan lebih banyak pekerja digunakan di dalam proses pengeluaran.

"Ini berbeza dengan ekonomi yang berintensifkan teknologi di mana sebahagian besar operasi pengeluaran diambil oleh automasi.

"Jadi bagi Malaysia, mengurangkan pekerja di kilang bermakna mengurangkan pengeluaran. Apabila pengeluaran berkurangan maka lebih banyak pekerja akan diberhentikan atau dikurangkan yang seterusnya memberi impak kepada pendapatan pekerja.

"Untuk beralih kepada pengeluaran berintensifkan teknologi adalah sesuatu perubahan jangka panjang dan proses peralihan tidak boleh berlaku dalam tempoh semalaman," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, justeru sektor perkilangan dan pembuatan ini perlu diberi perhatian dengan mempercepatkan program vaksinasi.

Beliau berkata, selain itu, langkah pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di kilang perlu dipantau rapat bagi mengurangkan risiko jangkitan.

"Bukan itu saja, keadaan persekitaran tempat tinggal pekerja juga perlu diambil perhatian kerana ruangan tempat tinggal yang terhad turut boleh menyumbang kepada jangkitan wabak.

"Kilang-kilang tidak boleh dihentikan operasi kerana hentikan operasi bermakna berhentilah mata pencarian pekerja, malah keadaan akan menjadi bertambah buruk," katanya.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 218 kluster baharu tempat kerja direkodkan dari 1 hingga 16 Jun 2021.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 11:02 PM