DR Mohamad Rafie Ab Malek (tengah) dan Mohamad Taufek Abd Ghani (kanan) serta Lim Kwee Shyan (dua dari kanan) pada majlis penyerahan bantuan COVID-19 di Senawang hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil
DR Mohamad Rafie Ab Malek (tengah) dan Mohamad Taufek Abd Ghani (kanan) serta Lim Kwee Shyan (dua dari kanan) pada majlis penyerahan bantuan COVID-19 di Senawang hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan yakin sasaran untuk memastikan kesemua pekerja sektor perindustrian dan perkilangan di negeri itu dapat divaksinkan sepenuhnya menjelang awal bulan depan, akan dapat dicapai.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, ini berikutan program pemberian vaksin yang sedang dilaksanakan berjalan dengan lancar.

Katanya, setakat ini kira-kira 40,000 pekerja sektor berkenaan yang berdaftar sudah menerima vaksin dos pertama dan proses bagi suntikan dos kedua masih dijalankan.

"Setakat ini terdapat dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) beroperasi iaitu di d'Tempat Country Club, Sendayan yang bermula awal Julai lalu.

"Sementara, satu lagi PPV PIKAS ialah di Pusat Komersial D'Cattleya Senawang yang mula beroperasi Isnin lalu.

"Pembukaan kedua-dua PPV PIKAS ini ternyata membantu mempercepatkan lagi program vaksinasi dalam kalangan pekerja industri apabila keupayaan suntikan kini mencecah 3,500 dos sehari," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Covid-19 oleh kilang sarung tangan, Careplus Group Berhad (Careplus), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Exco Kerajaan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani; Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran dan Ketua Pegawai Eksekutif Careplus, Lim Kwee Shyan.

Dalam pada itu, Mohamad Rafie yang juga Adun Ampangan berkata, pihaknya dapat mengenalpasti masih terdapat kilang bersaiz kecil yang belum menyertai program vaksinasi ini.

Beliau berharap mereka yang berkenaan dapat mendaftar secepat mungkin bagi membantu kerajaan menjayakan program vaksinasi itu.

"Usaha menyegerakan vaksinasi dalam kalangan pekerja sektor perindustrian dan perkilangan ini penting supaya kilang bebas daripada jangkitan wabak pandemik ini.

"Ini akan dapat memastikan usaha menggerakkan sektor berkenaan bagi merangsang semula ekonomi negara dapat dilaksanakan dengan lebih cepat," katanya.

Pada majlis itu, Careplus menyumbang sebanyak RM70,000 untuk Pusat Khidmat DUN Ampangan, DUN Paroi dan DUN Seremban Jaya, bagi membantu masyarakat yang terkesan dengan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 2:12 PM