Kawasan sekitar di Resort Tasik Chini.
Kawasan sekitar di Resort Tasik Chini.
Asrol Awang


Kuantan: Kerajaan Pahang akan segera bertindak menambah keluasan hutan simpanan kekal Chini daripada 4,600 hektar kepada 6,000 hingga 7,000 hektar.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan itu seperti yang dititahkan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Justeru, beliau berkata, jabatan kerajaan iaitu Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) sudah diminta mengambil tindakan segera bagi mengenal pasti kawasan tambahan seterusnya menguruskan soal pewartaannya.

Katanya, keluasan hutan simpanan kekal Chini wajar kerana dapat menambahkan lagi liputan kawasan hutan demi menjaga dan memelihara dan memulihara mutu alam sekitar Tasik Chini.

"Keluasan ini juga wajar yang dapat memberi keberkesanan lebih tinggi kepada usaha untuk menepati kehendak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) mengenainya.

"Seperti semua sedia maklum, Tasik Chini Rizab Biosfera (TCRB) di bawah program 'Man and Biosphere Unesco' diiktiraf sejak 2009 sebagai kawasan rizab biosfera pertama di Malaysia.

"TCRB berlandaskan tiga teras utama yang berkaitan dengan pemuliharaan ekosistem termasuk spesis dan hidupan, sokongan logistik termasuk aktiviti penyelidikan dan pembelajaran serta pembangunan melibatkan ekonomi penduduk setempat," katanya dalam kenyataan media, hari ini

Bagi menjayakan ketiga-tiga teras utama ini, Wan Rosdy berkata, TCRB dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon Teras, Zon Penampan dan Zon Peralihan dengan fungsinya yang berbeza.

Dengan keluasan maksimum kira-kira 7,000 hektar seperti dititah Pemangku Raja Pahang, katanya, ia sangat memadai bagi menjayakan TCRB secara lebih berkesan.

"Apabila TCRB dapat dijayakan dengan lebih berkesan, sekaligus dapat turut menyempurnakan titah baginda agar pengiktirafan bertaraf dunia oleh Unesco itu dapat terus dipertahankan.

"Kerajaan negeri akan segera berusaha melaksanakan kerja penanaman semula seperti kerja penanaman yang dilakukan dengan membelanjakan RM250,000 setakat ini.

"Sejumlah RM10 juta akan turut diperuntukkan bagi menjayakannya," katanya.

Beliau berkata, selain itu, aktiviti penguatkuasaan akan terus diperkasakan termasuk pemantauan menggunakan teknologi 'Light Detection Radar' (Lidar) dan dilaksanakan secara bersepadu serta berkala membabitkan agensi penguatkuasaan negeri dan persekutuan.

"Semoga dengan usaha ini yang akan dilaksanakan sebagai menjunjung titah baginda dan dengan komitmen tinggi semua pihak, Tasik Chini akan dapat dipulihara dalam tempoh masa sewajarnya," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri menjunjung kasih dan menjunjung titah atas titah baginda mengenai pelbagai perkara mengenai pemuliharaan Tasik Chini.

Katanya, titah baginda melambangkan keprihatinan tinggi Pemangku Raja Pahang mengenai hal ehwal negeri termasuk berkaitan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar, apatah pula membabitkan Tasik Chini.

"Ia juga jelas menunjukkan kebijaksanaan baginda dalam urusan pengendalian isu dan isu mengenai alam sekitar khususnya Tasik Chini sememangnya dekat di hati baginda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 2:50 PM