TASIK Chini. FOTO Arkib NSTP
TASIK Chini. FOTO Arkib NSTP
Samadi Ahmad

Putrajaya: Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) tidak akan mengeluarkan sebarang Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) bagi permohonan dalam kawasan pemeliharaan di Tasik Chini, Pahang.

Ia membabitkan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK), Kawasan Rizab Perlindungan dan kawasan yang diwartakan secara khusus seperti tadahan air atau Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, KeTSA menyokong usaha dan komitmen kerajaan Pahang dalam memelihara tapak rizab biosfera Tasik Chini.

Katanya, sebagai 'national focal point' bagi program 'Man and the Biosphere' (MAB) bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), kementeriannya sentiasa menyokong usaha kerajaan Pahang itu.

"KeTSA sentiasa menekankan kepentingan memelihara kelestarian kawasan tapak rizab biosfera Tasik Chini dalam menyokong usaha-usaha mempertahankan pengiktirafan tasik berkenaan," katanya tadi.

Sokongan KeTSA itu merujuk kepada kenyataan media Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung usaha pemuliharaan Tasik Chini pada 15 Jun lalu.

Antara komitmen diadakan kerajaan Pahang adalah memperluaskan Hutan Simpan Chini kepada 6,000 hingga 7,000 hektar, mempergiatkan pemuliharaan kawasan tasik, pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan secara bersepadu, menghentikan aktiviti melombong di kawasan tasik serta mempertahankan status tapak biosfera UNESCO.

Shamsul Anuar berkata, penyertaan Malaysia dalam program MAB UNESCO bermula pada 2009 menerusi pengiktirafan Tasik Chini yang berkeluasan 6,922.97 hektar, pada 26 Mei 2009.

Katanya, ia membabitkan program saintifik antara kerajaan (inter-governmental) bagi memperbaiki hubungan antara manusia dan alam sekitar dengan memberi penekanan kepada keperluan pembangunan dan penjagaan alam sekitar.

Shamsul Anuar berkata, dasar dan hala tuju juga ditetapkan bagi memastikan pengurusan dan pembangunan sumber-sumber asli dilaksanakan secara bertanggung jawab serta mampan.

"Di harap dengan adanya inisiatif daripada kerajaan Pahang ini pengiktirafan Tasik Chini sebagai tapak rizab biosfera MAB dapat terus dipertahankan," katanya.

Beliau berkata, Sekretariat UNESCO Paris sudah memberikan tempoh sehingga 2022 untuk penilaian semula status tapak rizab biosfera Tasik Chini.

Menurutnya, sebagai tapak rizab biosfera yang pertama di Malaysia, pengurusan Tasik Chini menjadi kayu pengukur kepada pengurusan semua khazanah alam semula jadi di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 6:44 PM