Anggota bomba mengusung mayat mangsa lemas di lombong di Jalan KRI 2, Taman Perindustrian KRI Rawang hari ini. Foto Ihsan JBPM
Anggota bomba mengusung mayat mangsa lemas di lombong di Jalan KRI 2, Taman Perindustrian KRI Rawang hari ini. Foto Ihsan JBPM
Muhaamad Hafis Nawawi

Rawang: Lelaki warga Myanmar ditemukan lemas hari ini selepas dipercayai terjatuh ketika menangkap ikan di lombong bersama rakannya di Jalan KRI 2, Taman Perindustrian KRI Rawang di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, Chit Win Naing, 26, ditemukan pada 9.37 pagi oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM Selangor.

Menurutnya, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.43 malam tadi dan tiba di lokasi 11 minit kemudian.

"Seramai 12 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang terbabit dalam operasi bersama 11 anggota PPDA dari BBP Shah Alam dan BBP Klang dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) serta dua pasukan bomba sukarela (PBS).

"Maklumat daripada rakannya, mangsa bersama mereka ketika itu sedang mencari ikan sebelum tenggelam di dalam lombong sedalam lebih tiga meter itu.

"Operasi pencarian ditangguhkan malam tadi sebelum disambung semula pada 8.30 pagi ini," katanya dalam kenyataannya hari ini

Norazam berkata, mayat kemudian ditemukan pada 9.37 pagi dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 12:05 PM