Keadaan kenderaan pasukan polis yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 60 Jalan Teluk Intan-Klang berhampiran Tali Air 10, Pasir Panjang, hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Keadaan kenderaan pasukan polis yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 60 Jalan Teluk Intan-Klang berhampiran Tali Air 10, Pasir Panjang, hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Amirul Aiman Hamsuddin


Sekinchan: Lima termasuk dua anggota polis dan tiga orang kena tuduh (OKT) cedera selepas van dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 60 Jalan Teluk Intan-Klang berhampiran Tali Air 10, Pasir Panjang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, dua anggota polis masing-masing berusia 29 dan 28 tahun cedera di kaki serta bahagian badan lain.

Sementara, tiga OKT masing-masing patah kaki kiri dan cedera di kepala serta kaki.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias, berkata, kenderaan pasukan polis itu dipercayai hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian.

"Van itu dinaiki dua anggota polis termasuk pemandu dan tiga OKT dalam perjalanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam ke Mahkamah Kuala Selangor untuk proses reman.

"Apabila sampai di tempat kejadian, van berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke tengah jalan dan melanggar penghadang konkrit serta berpusing lalu memasuki laluan bertentangan," katanya hari ini.

Agus Salim berkata, anggota yang memandu van dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam, manakala penumpang hadapan dan tiga OKT dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 3:21 PM