KEADAAN van putih dinaiki mangsa yang remuk selepas dilanggar pacuan empat roda.
KEADAAN van putih dinaiki mangsa yang remuk selepas dilanggar pacuan empat roda.

Sabak Bernam: “Hati saya berdebar-debar apabila ternampak sebuah van putih terbabit dalam satu kemalangan. Saya bergegas mendekati van itu sebelum mendapati dua anak saya terbabit dalam kemalangan itu,” kata seorang bapa Abd Halim Mahali, 50.

Dalam kemalangan jam 11.30 malam di Kilometer 53 Jalan Teluk Intan-Klang berhampiran Simpang 3 Logi Sungai Haji Dorani dekat sini malam kelmarin, anak angkatnya Muhammad Nazreen Khuzaini Ab Rahman, 19, meninggal dunia manakala anak keempatnya, Amar Ma’aruf, 17, parah.

Kemalangan itu membabitkan van yang dinaiki dua beradik itu serta masing-masing kenderaan pacuan empat roda, lori dan treler.

Abd Halim berkata, sebelum kejadian dua beradik itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Batu 38 selepas mereka bekerja di kedai makan miliknya di Sekinchan.

“Mereka pulang kira-kira 20 minit awal daripada kami sebelum saya dan isteri, Zaimah Ibrahim, 48, dan anak sulung ternampak kemalangan itu,” katanya di sini malam kelmarin.

Menurut Abd Halim, Muhammad Nazreen sebelum ini mengikuti pengajian di pusat tahfiz manakala Amar Ma’aruf pula sudah menamatkan pengajian di sebuah pusat tahfiz tahun lalu dan kini mereka berdua membantu perniagaan katering dan kedai makan miliknya.

“Mereka berdua memang berminat dalam bidang perniagaan dan saya sering memberi galakan untuk mereka berjaya dalam bidang itu satu hari nanti,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Noor Azmi Isa berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam jam 11.40 malam mengenai kemalangan terbabit.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati van dinaiki dua beradik itu dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar lori.

“Lori berkenaan hilang kawalan sehingga terbalik dan merintangi jalan. Sebuah pacuan empat roda melanggar van yang berada di lorong kanan.

“Kedua-dua mangsa iaitu pemandu van dan penumpang tercampak keluar dari van sebelum sebuah treler menyeret mangsa sejauh 50 meter,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2016 @ 6:32 AM