PENGHANTAR makanan maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda. FOTO Ihsan Pembaca
PENGHANTAR makanan maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda. FOTO Ihsan Pembaca
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Sungai Buloh: Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Subang-Sungai Buloh, di sini, hari ini

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, kejadian berlaku 2.15 petang ketika mangsa berusia 23 tahun itu dipercayai dari arah Kampung Subang.

"Mangsa, Muhammad Aminulfikrie Zulkapli yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC itu melanggar bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara yang ketika itu sedang melakukan kerja selenggara jalan dan berhenti di lorong pertama.

"Ketika kejadian terdapat dua pekerja sedang mengawal lalu lintas di bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda berkenaan, mangsa dipercayai tidak sempat mengelak dan terlanggar bahagian belakang kenderaan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, akibat rempuhan berkenaan mangsa dipercayai terpelanting sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 7:55 PM