Sebahagian daripada 990 penduduk Kampung Kutan Tengah menjalani ujian calitan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kutan hari ini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Sebahagian daripada 990 penduduk Kampung Kutan Tengah menjalani ujian calitan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kutan hari ini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Siti Rohana Idris

Tumpat: Kebanyakan penduduk Kampung Kutan Tengah di sini, mula keluar membeli bekalan makanan dan keperluan harian sebagai persediaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang akan bermula esok.

Didapati beberapa kedai runcit dalam lokaliti itu dipenuhi pelanggan dan ada juga sudah ditutup kerana kehabisan stok jualan.

Pemilik kedai runcit, Nor Amalin Nasuha Hassim, 28, dia terpaksa membuat pembelian tambahan pelbagai barangan asas di premisnya berikutan 'serangan' pembeli dari penduduk sekitar sejak malam tadi.

"Sebaik kami dimaklumkan mengenai PKPD ini, kedai runcit mula dipenuhi pelanggan yang terdiri daripada penduduk sekitar sejak malam tadi dan ia bersambung ke pagi hari ini.

"Saya menutup seketika premis pada tengah hari tadi kerana perlu ke kedai pemborong untuk menambah pembelian stok barang seperti gula, susu pekat manis, tepung gandum, minyak masak dan beras.

"Sebaik kembali beroperasi sebentar tadi, pelanggan bertali arus datang dan bukan sahaja barang makanan asas, ada juga yang datang membeli ubat serta makanan ringan," katanya ketika ditemui di kedai runcitnya di sini, hari ini.

Tinjauan dalam kawasan kampung itu mendapati penduduk sama ada dengan menunggang motosikal atau memandu kereta keluar untuk menjalankan urusan dengan kadar segera sebelum PKPD Kampung Kutan Tengah itu dilaksanakan bermula esok sehingga 24 Jun ini.

Seorang penduduk, Nor Ashikin Hussin, 50, berkata, dia mengetahui mengenai pelaksanaan itu petang semalam dan penduduk diarahkan menjalani ujian calitan bermula hari ini.

"Saya belum lagi membuat ujian calitan kerana ingin keluar membeli barangan keperluan terlebih dahulu disebabkan saya mempunyai ahli keluarga yang ramai dan memerlukan stok makanan banyak sebagai persediaan berkurung nanti.

"Pagi hari ini saya sudah ke kedai runcit tidak jauh dari rumah tapi banyak barangan sudah habis dan perlu ke pasar untuk menyediakan keperluan itu selain lauk mendapatkan lauk mentah dari penjual yang sudah saya tempah lebih awal," katanya.

Tinjauan juga dilakukan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kutan yang menjadi pusat ujian calitan bagi 990 penduduk iaitu membabitkan 459 keluarga dan seawal jam 8 pagi lagi penduduk sudah datang untuk menjalani ujian calitan sebaik pengumuman mengenai PKPD kampung itu dibuat petang semalam.

Selain Kampung Kutan, satu lagi lokaliti turut dikenakan PKPD di Kelantan iaitu Kampung Ketil, Pengkalan Kubor juga bermula esok sehingga 24 Jun ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 4:01 PM